Projek tanaman kontan bantu pulih kewangan Felda

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub melihat buah-buahan tempatan pada lawatan kerja Hari Bertemu Pelanggan Peringkat Lembah Klang di Ibu Pejabat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Selayang, hari ini. - Foto Bernama
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub melihat buah-buahan tempatan pada lawatan kerja Hari Bertemu Pelanggan Peringkat Lembah Klang di Ibu Pejabat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Selayang, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi akan bekerjasama melaksanakan projek tanaman kontan bagi memulihkan masalah kewangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bernilai RM1 bilion dalam tempoh lima tahun.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) bersama Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang membentangkan pendekatan baharu itu, semalam.

"Bagi memulihkan kembali kewangan Felda, mungkin suku daripada jumlah RM1 bilion digunakan untuk memulakan projek itu. Sememangnya dua kementerian ini mesti bekerjasama.

"MOA mempunyai kepakaran iaitu menerusi agensi seperti Mardi (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia) dan Fama (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) yang akan mengambil peranan membantu Felda dan menjayakan konsep 'cash crop' (tanaman kontan) itu," katanya pada sidang media selepas sesi Town Hall bersama pelanggan MOA di sini, hari ini.

Menyifatkan langkah itu satu cabaran besar kementeriannya, Salahuddin berkata, kedua-dua ketua setiausaha kementerian terbabit akan memulakan perbincangan dan langkah seterusnya akan diambil di peringkat kementerian bagi membantu Felda meningkatkan pendapatan mereka.

Pada 10 April lepas, Mohamed Azmin membentangkan Kertas Putih “Ke Arah Kelestarian Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda)” di Dewan Rakyat yang menjelaskan mengenai isu dihadapi Felda serta pelan pemulihan bagi mengembalikan keyakinan rakyat dan memastikan peneroka terus dibela oleh kerajaan. Dalam perkembangan lain, Salahuddin yang menghadiri ke program Hari Bertemu Pelanggan anjuran Fama turut mendapat pelbagai maklum balas daripada usahawan-usahawan tempatan bagi membantu golongan itu untuk mengembangkan perniagaan masing-masing.

Beliau berkata, Fama perlu menambah baik platform perniagaan dalam talian www.agrobazaar.com.my kerana jualan secara dalam talian menjadi 'trend’ terkini dan berpotensi tinggi untuk membantu usahawan tempatan memasarkan produk masing-masing di peringkat lebih tinggi.

Dalam pada itu, Pengerusi Fama, Ishak Ismail berkata nilai jualan dalam portal agrobaazar mencecah RM4.5 juta tahun lepas yang melibatkan 4,840 pemasar yang berdaftar.

Artikel Berkaitan:

Pasaran dalam talian adalah medium jualan yang kini mendapat sambutan kerana urusan pembelian yang lebih mudah, cepat dan perkhidmatan penghantaran turut disediakan. - Bernama