Kakitangan KLIA campak air zam zam?

Paparan skrin video yang tular di media sosial.
Paparan skrin video yang tular di media sosial.
A
A
A

SHAH ALAM - Satu klip video berdurasi 12 saat tular di media sosial memaparkan kakitangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sedang mencampakkan air zam zam milik jemaah yang pulang dari menunaikan Umrah.

Sehingga kini, hantaran di Facebook milik Zahari Basaruddin itu telah mendapat sebanyak 15,916 perkongsian dan ditonton seramai 583,000 netizen.

Menurut Zahari, kakitangan KLIA itu telah mencampak air zam-zam ke lantai tanpa rasa segan dan hormat di khalayak umum.

"Kejadian hari ini di KLIA. Penat macam mana sekali pun tak wajar tunjuk marah begitu rupa dengan melemparkan air zam zam milik jemaah Umrah ke lantai tanpa rasa segan dan hormat.

"Malah tindakan itu juga dilakukan di khalayak umum. Kita tak bermaksud nak hukum kakitangan tersebut tapi jelas perbuatannya menyalahi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,"katanya.

Susulan penularan video terbabit, seorang pengguna Facebook, Fauzan Mohd tampil bagi memberi penjelasan sebenar berhubung situasi yang berlaku tersebut.

Menurut Fauzan, pihaknya memohon maaf di atas insiden tersebut namun tindakan kakitangan KLIA itu terpaksa dibuat berikutan situasi conveyer yang penuh sehingga boleh menyebabkan air zam zam tersebut pecah.

"Kami tidak dapat melakukan pengasingan air zam zam satu persatu ke lantai kerana bagasi telah bercampur di converyer," katanya.

Mengulas lanjut, Fauzan berkata situasi itu berlaku apabila bagasi yang sepatutnya keluar di converyer F terpaksa ditukarkan atas masalah teknikal dan menyebabkan pertembungan dengan bagasi lain di converyer G.

Artikel Berkaitan:

"Bayangkan betapa padatnya converyer itu dan boleh menyebabkan ia sangkut sekiranya kakitangan tidak mengeluarkan bagasi dan air zam zam itu secepat mungkin.

"Mungkin berhari-hari converyer itu tidak dapat digunakan dan akan menyusahkan pihak lain. Sepatutnya air zam zam dikeluarkan di Conveyor Out of Gouge (OOG) tetapi kami mendapat arahan ia akan bercampur dengan bagasi lain," katanya.

Dalam pada itu, Fauzan berkata kakitangan yang bertugas itu juga tidak melangkah air zam zam berkenaan dan langkah itu diambil hanya untuk melancarkan pergerakan bagasi penumpang terlibat.

"Kami tidak langkah air zam zam itu kerana ia haram. Kami campak ke lantai sebelah kami untuk pastikan semua berjalan lancar.

'Mencampak air zam zam tidak haram dan di dalam Al Quran juga tidak mengatakan tindakan itu adalah haram,"katanya.

Tambah Fauzan, pihaknya berharap agar orang ramai dapat membersihkan kembali nama kakitangan terbabit dan tidak menularkan lagi video terbabit.

"Harap anda tidak menghebohkan perkara yang belum sahih kerana ia akan jatuh hukum fitnah dan kami tidak mahu anda dihukum ALLAH kerana salah faham antara sesama Islam,"katanya.