Skuad berbasikal MTB tetap rendah diri Sukan SEA 2023

Mohd Saiful Abdul Jalil
Mohd Saiful Abdul Jalil
A
A
A

SKUAD berbasikal MTB kebangsaan kekal merendah diri biarpun muncul antara sukan yang berjaya mencipta kejutan pada edisi lepas, apabila menyasarkan satu pingat emas pada Sukan SEA Kemboja 2023 di Phnom Penh, Mei depan,

Pengurus pasukan, Mohd Saiful Abdul Jalil berkata, fokus mereka adalah mahu mengekalkan dominasi dalam acara berganti-ganti rentas desa campuran sekali gus mempertahankan emas yang dimenangi di Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam tahun lepas.

Katanya, skuad MTB kebangsaan juga mengintai peluang untuk membawa pulang dua gangsa dengan satu daripadanya disasar dalam acara baharu yang bakal dipertandingkan.

“Bagi skuad MTB kita nak kekalkan satu emas dalam acara berganti-ganti dan dua gangsa dalam acara rentas desa lelaki ataupun wanita.

“Di Kemboja ada satu acara tambahan (iaitu) eliminator. Kita rancang untuk hantar enam atlet dalam acara itu dan cuba untuk dapatkan satu gangsa,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Prapemilihan Temasya Sukan SEA ke-32 Kemboja di Wisma OCM.

Mohd Saiful berkata, skuad MTB kebangsaan mempunyai perancangan untuk menjalani latihan di Vietnam pada Mac ini sebagai persediaan menghadapi cabaran di Kemboja.

Menyentuh mengenai pertandingan, beliau berkata setakat ini, pasukan bercadang untuk menghantar atlet menyertai kejohanan di Turkiye bulan depan dan Piala Thai pada Mac.

Bagaimanapun menurut beliau, pihaknya masih menunggu kelulusan daripada Wisma Putra dan Majlis Sukan Negara (MSN) berhubung kebenaran menyertai kejohanan di Turkiye.

Sementara itu, beliau berkata, skuad MTB kebangsaan menghantar keseluruhan 11 nama atlet di bawah kategori A dan 23 bagi kategori B bagi Sukan SEA Kemboja, namun mengakui senarai itu boleh berubah mengikut situasi semasa.

Sebagai rekod, pingat emas berganti-ganti rentas desa campuran merupakan emas pertama Malaysia dalam sukan itu sepanjang penganjuran temasya Sukan SEA dengan pencapaian terbaik sebelum itu ialah perak pada edisi 2011 yang menjadi pingat terakhir diraih kem berbasikal MTB negara.

Kejayaan bersejarah itu hadir menerusi gandingan Ahmad Syazrin Awang Ilah, Zulfikri Zulkifli, Nur Assyira Zainal Abidin dan Natahsya Soon selepas menewaskan pasukan tuan rumah dan Thailand untuk masing-masing meraih perak dan gangsa.

Nur Assyira dan Natahsya masing-masing turut menghadiahkan kem MTB negara perak dan gangsa dalam acara rentas desa wanita di Hanoi.