Hishammuddin terima surat digantung keahlian UMNO

Surat rasmi berhubung tindakan penggantungan keahlian UMNO terhadap Hishammuddin selama enam tahun.
Surat rasmi berhubung tindakan penggantungan keahlian UMNO terhadap Hishammuddin selama enam tahun.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mendedahkan menerima surat rasmi berhubung penggantungan keahlian UMNO selama enam tahun.

Surat bertarikh 30 Januari 2022 itu ditandatangani oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Bagaimanapun menurutnya, tiada sebarang sebab penggantungan dinyatakan.

"Baru sahaja terima surat rasmi bertarikh semalam (Isnin) berhubung penggantungan keahlian UMNO saya.

"Tiada sebab penggantungan dinyatakan," katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Selasa.

Beliau turut memuat naik gambar surat yang dinyatakan.

Berdasarkan surat berkenaan, Hishammuddin didapati melanggar Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO.

"Adalah dimaklumkan bahawa Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 27 Januari 2023 telah memutuskan bahawa YB Dato' Seri digantung hak-hak keahlian dalam parti di bawah Fasal 10.6 dibaca bersama Fasal 5.9 Perlembagaan UMNO kerana tindakan YB Dato' Seri melanggar Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO.

"Penggantungan ini adalah selama tempoh enam tahun bermula daripada 27 Januari 2023 atau dua penggal pemilihan Majlis Kerja Tertinggi UMNO," menurut surat berkenaan.

Pada Jumaat, MKT memutuskan memecat bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar daripada UMNO kerana pelanggaran disiplin sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

UMNO turut menggantung keahlian beberapa pemimpin lain selama enam tahun seperti Hishammuddin; bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan; Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif.