Banjir termenung punca pokok getah 'tertekan'

Penoreh dari Kampung Tersang, Rantau Panjang menunjukkan keadaan pokok getah yang mulai merekah selepas ditenggelami banjir termenung yang lama. (Gambar kecil: Kameruzaman)
Penoreh dari Kampung Tersang, Rantau Panjang menunjukkan keadaan pokok getah yang mulai merekah selepas ditenggelami banjir termenung yang lama. (Gambar kecil: Kameruzaman)
A
A
A

PASIR MAS - Kerap kali ditenggelami banjir dalam tempoh yang panjang boleh menyebabkan pokok getah berada dalam keadaan 'tertekan'

Pengerusi Pertubuhan Usahawan Getah Bumiputera Malaysia (PUGBM), Kameruzaman Ab Rahman berkata, situasi itu menyebabkan fisiologi pokok terganggu sekali gus menyebabkan hasil berkurangan.

"Pada masa sama, ia boleh menyebabkan pembiakan dan perkembangan mikroorganisma terutamanya kulat menyebabkan penyakit pada akar, batang dan daun," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Menurut beliau, keadaan tersebut akan menjejaskan pendapatan golongan penoreh.

Beliau berharap kerajaan dapat menyediakan pelan jangka pendek untuk mengatasi masalah yang dihadapi oleh penoreh getah di Rantau Panjang.

Kameruzaman berkata, perkara ini dibimbangi boleh memberikan kesan jangka panjang kepada penoreh yang kebanyakkan bergantung sepenuhnya kepada hasil getah.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan penoreh getah di Rantau Panjang gelisah memikirkan nasib mereka apabila melihat banyak pokok mulai mati selepas terkesan dengan banjir termenung yang sering melanda kawasan berkenaan.