Kesan pandemik terhadap industri umrah

Cabaran besar terpaksa dihadapi pemain industri berkenaan

A
A
A

Sesi bergambar selepas perbincangan bersama Wakil Saudi Tourism Authority pada 25 Januari lalu.
Sesi bergambar selepas perbincangan bersama Wakil Saudi Tourism Authority pada 25 Januari lalu.



SHAH ALAM - Syarikat Pengendali Umrah dan Haji, Az Zuha Group Travel and Tours menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universiti Islam Selangor (UIS) bagi melahirkan mutawif yang berkualiti sekali gus meningkatkan mutu perkhidmatan agensi tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Az Zuha, Abdul Malik Abdul Raman berkata, kerjasama itu juga bertujuan memastikan setiap pembimbing umrah di bawah agensi itu berjaya mencapai piawaian yang dikehendaki oleh pelanggan dan diiktiraf ahli akademik serta pihak berautoriti.

Katanya, selain MoU, program 'Mutawif Cemerlang Dari Perspektif Pelanggan' turut diadakan, dengan disertai 100 orang pembimbing dan beberapa jemaah Az Zuha sebelum ini.

"Program ini juga adalah usaha bagi menambah baik mutu dan kualiti perkhidmatan Az Zuha terutama melalui maklum balas bekas jemaah yang pernah bersama mereka.

"Justeru, kita menjemput alumni atau bekas jemaah untuk menyuarakan pandangan dan saranan apa yang patut kita lakukan untuk tingkatkan perkhidmatan pembimbing umrah," katanya kepada Sinar Harian.

Abdul Malik (kiri) dan Dr Mohamad Rofian pada majlis tanda tangan MoU antara Az Zuha Group Travel bersama UIS.
Abdul Malik (kiri) dan Dr Mohamad Rofian pada majlis tanda tangan MoU antara Az Zuha Group Travel bersama UIS.



MoU ditandatangani oleh Abdul Malik dan Pengarah Pusat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) UIS, Dr Mohamad Rofian Ismail di Le Venue Hotel, Bangi baru-baru ini.

Tambah Abdul Malik, pihaknya menyambut baik saranan dan pandangan yang diberikan oleh pelanggan berkenaan.

"Malah Az Zuha turut sedar perkara tersebut amat penting untuk mereka mengambil tindakan segera dalam penambahbaikan kepada mutu servis dan perkhidmatan agensi itu pada masa akan datang," ujarnya.

Sementara itu, Mohamad Rofian memaklumkan peserta program itu akan memperolehi pengiktirafan melalui Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) selepas menyempurnakan keseluruhan modul tersebut.

"Pihak kami akan lakukan pelbagai bentuk kerjasama dengan Az Zuha Group Travel ini, begitu juga kursus jangka pendek berkaitan mutawif dan SKM," katanya.

Antara peserta yang hadir pada program ‘Mutawif Cemerlang Dari Perspektif Pelanggan’ di Bangi baru-baru ini.
Antara peserta yang hadir pada program ‘Mutawif Cemerlang Dari Perspektif Pelanggan’ di Bangi baru-baru ini.



Dalam perkembangan lain, Abdul Malik turut berkongsi kesukaran dan cabaran besar yang terpaksa dihadapi pemain industri pengendali umrah.

"Kita bukan hanya berdepan isu pandemik Covid-19 yang berlarutan hingga dua tahun, namun isu kenaikan harga tiket penerbangan, harga hotel dan juga perubahan penginapan di saat akhir oleh pihak hotel juga merupakan antara cabaran besar.

"Mahu tidak mahu semua syarikat terpaksa menghadapinya dan kini kebanyakan syarikat pengendali umrah mulai positif menguruskan jemaah dengan lebih baik sedikit demi sedikit," jelasnya.

Menurut Abdul Malik lagi, Az Zuha telah mengambil inisiatif membawa isu ini ke peringkat yang lebih tinggi pada 25 Januari lalu dengan mengadakan perbincangan bersama wakil Saudi Tourism Authority (STA) Asia Tenggara, Morad Tayebi dan Shazlin Ahmad untuk dibawakan kepada Kementerian Haji & Umrah Arab Saudi yang dijadualkan pada 28 Februari depan.

Sehubungan itu, beliau memohon maaf kepada semua jemaah Az Zuha khususnya jemaah pada bulan November dan Disember bagi tahun lalu.

Antara peserta yang hadir pada program ‘Mutawif Cemerlang Dari Perspektif Pelanggan’ di Bangi baru-baru ini.
Antara peserta yang hadir pada program ‘Mutawif Cemerlang Dari Perspektif Pelanggan’ di Bangi baru-baru ini.



"Kami akui kekurangan yang berlaku dan sudah pasti kami akan berusaha memperbaikinya," ujar Abdul Malik.

Sementara itu, mengenai program 'Mutawif Cemerlang Dari Perspektif Pelanggan', antara pengisian adalah sesi Tadabbur Sirah melalui al-Quran bersama Abdullah Bukhari Abdul Rahim dan slot kemahiran komunikasi berimpak tinggi bersama Rizal Rashid.

Selain itu, sesi perbincangan hukum-hakam umrah dan isu kontemporari daripada Prof Madya Dr Jamaluddin Hashim yang juga merupakan penulis buku Fiqh Haji Kontemporari.

Aktiviti riadah bermodul turut disediakan dalam program berkenaan bagi melahirkan pembimbing umrah yang bukan sahaja berilmu tetapi mempunyai kekuatan fizikal yang mantap bagi menguruskan para jemaah di Tanah Suci.

Untuk maklumat lanjut, layari http://www.azzuhatravel.com atau http://www.pakejhaji.com.my serta di talian media sosial rasmi Az Zuha Group Travel & Tours bagi mengikuti perkembangan semasa.