Brighton fahami perasaan Caicedo

Caicedo
Caicedo
A
A
A

PENGENDALI Brighton & Hove Albion, Roberto de Zerbi menegaskan bahawa The Seagulls bersedia untuk meneruskan kempen Liga Perdana Inggeris tanpa pemain tengah Moises Caicedo.

Caicedo sebelum ini meminta pengurusan Brighton untuk perpindahan selepas kelab pantai selatan Inggeris itu dilaporkan menolak bidaan 60 juta pound (RM315 juta) daripada pendahulu liga, Arsenal.

Dalam catatan di Instagram minggu ini, pemain Ecuador itu berkata, dia berterima kasih kepada Brighton dan pemilik kelab Tony Bloom kerana memberinya peluang bermain dalam Liga Perdana Inggeris tetapi tidak mahu melepaskan peluang keemasan itu.

“Caicedo seorang pemain berkualiti dan sangat baik.

“Saya boleh memahami perasaannya, apabila anda berusia 21 tahun dan menerima permintaan pasukan besar yang beraksi dalam saingan Eropah.

“Saya mahu dia menamatkan musim bersama kami tetapi kami bersedia untuk maju tanpa dia,” kata De Zerbi selepas Brighton menumbangkan juara Piala FA, Liverpool dengan kemenangan 2-1.