Lelaki ditahan buat laporan palsu, simpan video lucah

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

AMPANG - Tindakan seorang pekerja bank membuat laporan palsu konon diragut membawa padah apabila polis turut membongkar simpanan kandungan video lucah dalam telefon bimbitnya ketika direkod keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, lelaki berusia 29 tahun itu membuat laporan polis pada jam 5.42 petang.

Menurutnya, lelaki itu mendakwa telah didatangi individu tidak dikenali menaiki motosikal yang meragut dompet mengandungi kad pengenalan, kad bank, kad kerja dan wang tunai semasa berada di parkir kereta di Jalan Pandan Indah.

"Pada jam 5.54 petang, semasa berada di bilik pegawai penyiasat IPD Ampang Jaya untuk proses merakam percakapan, lelaki terbabit tiba-tiba telah meninggikan suara.

"Suspek dengan nada kasar telah berkata 'saya telah menunggu lebih satu jam dan saya hadir ke balai polis hanyalah untuk membuat laporan'.

"Suspek kemudian terus menghentak kerusi serta membalingnya ke arah pintu pejabat sambil menjerit dengan kuat 'saya mahu balik'," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, suspek kemudian ditahan dan pemeriksaan telefon bimbit di dalam kandungan galeri didapati mengandungi beberapa video lucah.

Katanya, lelaki itu tidak memiliki rekod jenayah dan saringan ujian air kencing juga negatif.

"Suspek telah direman tiga hari sehingga Rabu untuk siasatan bawah Seksyen 90 Akta Polis 1967 iaitu berkelakuan tidak senonoh di balai polis, Seksyen 292 Kanun Keseksaan iaitu memiliki bahan lucah serta Seksyen 182 Kanun Keseksaan iaitu membuat laporan palsu," katanya.