[VIDEO] ‘Tunggu dulu, saya masih dalam edah’ - Noh

Noh (kanan) sewaktu menjadi tetamu program Sinar Live bertajuk Dipecat UMNO: Lawan atau Move On yang dikendalikan Hazwan. - Foto Sinar Harian/ Rosli Talib
Noh (kanan) sewaktu menjadi tetamu program Sinar Live bertajuk Dipecat UMNO: Lawan atau Move On yang dikendalikan Hazwan. - Foto Sinar Harian/ Rosli Talib
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar masih belum membuat sebarang keputusan berhubung hala tujunya selepas dipecat daripada parti.

Menyifatkan masih dalam edah, Noh kini dalam tempoh bertenang dan pada masa yang sama, membuat keputusan untuk tidak membuat sebarang rayuan berhubung pemecatannya.

Menurutnya, tiada guna rayuan dibuat memandangkan keputusan telah dibuat oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO tanpa beliau berpeluang untuk membela diri.

“Saya nak merayu pada siapa sebab MKT UMNO sudah buat keputusan. Saya boleh terima keputusan ini walaupun saya sedih. UMNO ini banyak jasa kepada saya kerana atas dasar-dasarnya, saya anak orang kampung boleh belajar ke London dan akhirnya menjadi peguam.

“Apabila saya lihat keputusan-keputusan yang dibuat ini tidak mengikut peraturan dan perlembagaan, saya tak boleh terima. Prinsip saya, apa pun kita kena berpegang kepada perlembagaan. Itu sebab kita berpegang kepada Rukun Negara iaitu Keluhuran Perlembagaan dan Undang-Undang,” katanya pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Sinar Live bertajuk Dipecat UMNO: Lawan atau Move On? yang dikendalikan hos, Hazwan Mokhtar dan disiarkan secara langsung di semua platform media sosial Sinar Harian.

Mengulas mengenai perancangannya selepas ini, Noh memaklumkan, dia akan berehat sebelum mengambil keputusan seterusnya.

“Saya sudah diceraikan dan dalam tempoh edah, saya kena rehat dulu. Berapa lama, kita kena tengok. (Buat masa ini), belum ada apa-apa keputusan. (Mungkin) sama ada saya nak jadi penceramah bebas. Kalau sesiapa nak jemput saya, saya datanglah.

“PKR ke, Amanah nak jemput pun, saya boleh datang kalau sudi jemput saya jadi penceramah bebas. Kita akan tengok perkembangan seterusnya. Saya pun tak ada cita-cita dah, bagi saya yang penting adalah nak tengok parti mana yang betul-betul boleh menjadi tempat rakyat berteduh dan terus memperjuangkan hak-hak Melayu.

“Saya lihat semua parti sama sahaja dasarnya cuma perjalanan dan pimpinan parti yang berbeza. Dari segi demokrasi, perlembagaan juga saya kena lihat.

“Setakat ini saya belum ada tawaran. Saya akan lihat apakah saya perlu ke hadapan atau hanya jadi penceramah. Selepas tamat tempoh edah, saya akan lihat kembali,” jelasnya.