Pecat: Akan ada protes senyap - Mohd Amar

Mohd Amar (tiga dari kanan) menyampaikan watikah kepada ahli majlis Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Kelantan 2023 pada Isnin.
Mohd Amar (tiga dari kanan) menyampaikan watikah kepada ahli majlis Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Kelantan 2023 pada Isnin.
A
A
A

KOTA BHARU - Pemecatan dan penggantungan ahli UMNO secara besar-besaran merupakan usaha terdesak pemimpin parti itu supaya kedudukan mereka tidak tergugat.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berpendapat, tindakan itu mungkin akan membawa kepada penentangan dalaman dan protes secara senyap dalam parti itu.

Menurut beliau, kesan besar lain sudah tentu mengakibatkan kehilangan besar sokongan kepada parti itu pada pilihan raya akan datang.

"Mungkin ramai ahli yang masih kekal dalam parti ada hubungan dengan pemimpin dikenakan tindakan itu. Mereka inilah bakal memprotes secara senyap kepada parti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Kelantan 2023 di sini pada Isnin.

Mohd Amar memberitahu, daripada maklum balas dan laporan sebelum ini boleh dikatakan tindakan berkenaan terlalu drastik dan ia untuk kepentingan pihak tertentu.

"Bagi saya ia merupakan masalah dalaman UMNO dan itu hak yang ada pada parti untuk mengambil tindakan.

Ketika ditanya kemungkinan memberi peluang kepada Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), beliau berkata, Pas memang terbuka sejak dulu untuk menerima ahli parti.

"Mereka boleh memilih sama ada Bersatu atau Pas tetapi kami tidak mahu mendesak atau memujuk," katanya.

UMNO pada dua hari lalu memulakan proses pembersihan dalam parti dengan membuat keputusan memecat Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Sementara itu Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, kerajaan negeri belum mengadakan sebarang perbincangan mengenai PRN.

"Menteri Besar (Datuk Ahmad Yakob) akan mengadakan perbincangan dengan pimpinan parti berkaitan pemilihan tarikh yang sesuai.

"Pertemuan secara tidak rasmi ada cadangan daripada PH (Pakatan Harapan) supaya PRN dibuat serentak dengan negeri-negeri berkenaan tetapi dalam kita serahkan kepada parti," katanya.

Ketika mengulas mengenai pemberian rasuah dan sedekah, beliau turut berpendapat perkara itu tidak menjadi kesalahan bergantung kepada keadaan.

"Memberi sumbangan kepada pengundi yang pulang mengundi tidak menjadi kesalahan tetapi calon dan wakil calon tidak boleh terlibat dengan apa-apa sumbangan," katanya.

Mohd Amar sebelum itu menyampaikan Watikah Pelantikan Ahli Majlis kepada 288 ahli majlis melibatkan 12 daerah di negeri ini.