Kanak-kanak lelaki maut jatuh dari tingkat 11

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang patah tangan kiri selepas terjatuh dari tingkat 11, Rumah Pangsa Larkin di Jalan Garuda di sini pada petang Ahad, meninggal dunia beberapa jam selepas itu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kanak-kanak itu meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini pada jam 12.30 tengah malam Ahad.

"Terdapat laporan polis dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan kejadian kanak-kanak berkenaan patah tangan kiri dan dalam keadaan selamat selepas terjatuh dari tingkat 11 rumah pangsa berkenaan pada jam 7.31 petang Ahad.

Kanak-kanak itu ditemukan tersangkut di bahagian bumbung kedai di tingkat bawah selepas terjatuh dari tingkat 11 bangunan terbabit.

Anggota bomba kemudian membawa turun mangsa yang mengalami patah tangan kiri dengan menggunakan pengusung dan diserahkan kepada pasukan perubatan untuk dibawa ke HSA.