Sebut semula kes libat bekas Presiden Peka pada 9 Mac

Shariffa Sabrina (kanan) berbincang bersama Mohd Harris (kiri) di luar kamar Mahkamah Sesyen Raub pada Isnin.
Shariffa Sabrina (kanan) berbincang bersama Mohd Harris (kiri) di luar kamar Mahkamah Sesyen Raub pada Isnin.
A
A
A

RAUB - Kes menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran pada 2021 membabitkan bekas Presiden Pertuduhan Pelindung Khazanah Alam Sekitar (Peka), Puan Seri Shariffa Sabrina Syed Akil akan disebut semula pada Mac depan.

Hakim Mahkamah Sesyen Raub, Ahmad Faizadh Yahaya pada Isnin menetapkan 9 Mac depan sebagai sebutan semula berikutan pihak-pihak terlibat cuba mencari jalan mencari penyelesaian untuk isu-isu berbangkit.

Dalam prosiding berkenaan, pihak pendakwaan diketuai oleh Pengarah Pendakwaan Pahang, Abdul Ghafar Abdul Latif.

Shariffa Sabrina, 61, selaku orang kena saman (OKS) yang diwakili peguam Mohd Harris Mohan hadir ke mahkamah bersama ahli keluarga dan rakan.

Mengikut kertas pertuduhan, beliau didakwa pada 10 Jun 2021 jam, kira-kira jam 2 petang telah melakukan kesalahan tanpa kebenaran yang sah menduduki tanah kerajaan di Lot 10061, GM1572 Mukim Tras iaitu kawasan yang ketika ini didiami oleh Tanah Aina Farrah Soraya Exclusive Eco Resort, di daerah Raub, Pahang.

Pertuduhan seterusnya, beliau didakwa pada 10 Jun 2021, waktu sama telah melakukan kesalahan tanpa kebenaran yang sah menduduki tanah kerajaan di Lot 1053, PM0053 Mukim Ulu Dong iaitu kawasan Tanah Aina Fahad Glamping Resort di daerah Raub, Pahang.

Untuk pertuduhan ketiga, beliau didakwa pada 11 Jun 2021 waktu sama telah melakukan kesalahan tanpa kebenaran yang sah menduduki tanah kerajaan di Lot 26148, GM4135 Mukim Bentong iaitu kawasan Tanah Aina Fareena Café & Restaurant, di daerah Bentong, Pahang.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 425(1)(a) Kanun Tanah Negara 1965 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 425 kanun sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.