Format Piala Dunia 2023 tidak adil buat skuad negara

Subahan
Subahan
A
A
A

PERSEKUTUAN Hoki Antarabangsa (FIH) diharap dapat melihat semula format Piala Dunia Hoki 2023 yang dianggap tidak adil terhadap skuad negara.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal berpandangan format edisi 2023 memberi kesan kepada kedudukan akhir pasukan negara di kejohanan itu biarpun memenangi beberapa perlawanan.

Menurutnya, MHC berharap FIH dapat memberi perhatian kepada isu itu bagi memastikan format lebih adil digunakan dalam penganjuran masa depan.

“Pada saya format kali ini tidak adil kerana sekiranya diikutkan kita sepatutnya bermain untuk klasifikasi tempat kesembilan hingga ke-12.

“Bagaimana Afrika Selatan yang hanya menang sekali dan kita menang tiga perlawanan, namun mereka tamatkan saingan lebih tinggi dari pasukan negara.

“Jika ikutkan secara logik kita akan tamatkan saingan lebih tinggi dari Afrika Selatan. Malah ketika menentang Afrika Selatan, lawan mendapat rehat lebih lama, sebaliknya kita pula perlu bergerak ke venue yang lebih jauh dan ia menyebabkan para pemain penat.

“Ini cuma pandangan saya sahaja, saya harap FIH dapat lihat semula format yang digunakan pada Piala Dunia kali ini untuk kejohanan yang akan datang," katanya pada Ahad.

Malaysian Tigers kendalian Arul Selvaraj sebelum itu menamatkan saingan Piala Dunia 2023 di kedudukan ke-13 berkongsi kedudukan bersama Perancis selepas menewaskan Jepun 3-2.

Format baharu di Piala Dunia 2023, pasukan tercorot dalam setiap kumpulan berpeluang memperbaiki kedudukan akhir apabila akan bermain untuk penentuan tempat kesembilan hingga ke-16.

Edisi sebelum ini menyaksikan pasukan yang berada di kedudukan tercorot kumpulan, kedudukan akhir akan ditentukan menerusi jumlah mata yang dikumpul pada aksi peringkat kumpulan.