Isu UMNO: senario biasa dalam politik - Aminuddin

Aminuddin (lima dari kanan) ketika menyerahkan kad anak kepada penerima pada Ahad.
Aminuddin (lima dari kanan) ketika menyerahkan kad anak kepada penerima pada Ahad.
A
A
A

SEREMBAN - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Aminuddin Harun menyifatkan isu yang sedang didepani UMNO ketika ini adalah senario biasa dalam politik.

Malah Menteri Besar Negeri Sembilan itu turut berpandangan kepimpinan UMNO diyakini mampu membuat penjelasan sebaiknya kepada penyokong mereka di peringkat akar umbi.

"Bagi saya itu rumah tangga mereka, saya rasa pimpinan mereka mampu atasi dan memberikan sebab mengapa mereka ambil keputusan itu. Ada masa lagi untuk mereka jelaskan kepada ahli-ahli.

“Di peringkat PH negeri ini, saya minta semua pimpinan untuk kuatkan parti untuk hadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang semakin hampir," katanya kepada pemberita selepas selesai merasmikan Pelancaran Kad Anak di sini pada Ahad.

Ujarnya, tugas gabungan itu kini adalah untuk kukuhkan parti manakala tugas mereka (UMNO) untuk jelaskan.

"...Sebab dalam politik ada senario datang begitu ada sebaliknya,ia takkan sama dari semasa ke semasa. Jadi sebagai orang politik dia kena baca yang ke hadapan bukannya di belakang," katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri berkata, sebarang cadangan bagi penyertaan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin ke dalam PH perlulah dibincangkan di peringkat kepemimpinan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

"Tetapi keputusan mengenai perkara itu perlulah mengambil kira situasi di mana UMNO dan Barisan Nasional (BN) itu sendiri mempunyai kerjasama dan persefahaman yang baik dengan PH dalam pembentukan kerajaan perpaduan ketika ini.

“Mungkin ada perbincangan secara tidak formal, tetapi jika secara formal ia mesti diputuskan di peringkat kepemimpinan presiden PH, itu sahaja, jika ia diputuskan, saya rasa itu tidak jadi masalah," katanya yang memaklumkan enggan mengulas panjang mengenainya.

Media sebelum ini melaporkan, UMNO membuat keputusan memecat keahlian Khairy dan bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar berikutan pelanggaran disiplin sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Manakala Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, desas-desus berita kemasukan Khairy ke PKR masih bersifat spekulasi dan hanyalah pramatang.

Katanya, penyertaan Khairy sebagai ahli PKR perlu dibincangkan dalam kepemimpinan parti dan beliau tidak boleh keseorangan membuat keputusan itu dan tanpa perlu dilakukan secara kolektif oleh semua pemimpin PKR.