Sikap rakus, tamak punca pergolakan politik di Sabah

Hajiji berswafoto bersama mahasiswa yang hadir pada majlis perasmian Penutupan Konvensyen Mahasiswa GRS dan pelancaran Sayap Pelajar GRS di Kota Kinabalu.
Hajiji berswafoto bersama mahasiswa yang hadir pada majlis perasmian Penutupan Konvensyen Mahasiswa GRS dan pelancaran Sayap Pelajar GRS di Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor hairan dengan sikap beberapa pihak yang masih tidak berpuas hati dengan pentadbirannya walaupun Sabah diurus dengan baik.

Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, sikap tamak dan rakus sesetengah pihak dengan kedudukan menyebabkan pergolakan politik berlaku di negeri itu.

"Itu yang berlaku beberapa minggu yang lalu sehingga ada sedikit kekeliruan dan kegusaran dalam kalangan kita.

"Tetapi kita di pihak benar dan kita mendapat pertolongan daripada ALLAH. Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) diberi petunjuk dan terus memberi sokongan kepada kerajaan yang saya pimpin kerana mereka tahu kita mengurus negeri dengan baik.

"Kita dapat meningkatkan hasil negeri sehingga 31 Disember yang lalu RM6.97 bilion," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Penutupan Konvensyen Mahasiswa GRS dan pelancaran Sayap Pelajar GRS di sini, pada Ahad.

Hadir sama, rakan pemimpin parti GRS termasuk Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili; Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Ellron Alfred Angin dan Pengerusi Penaja Sayap Pelajar GRS, Datu Hishamuddin Datu Hasim.

Hajiji dan barisan pemimpin GRS bersama sebahagian mahasiswa pada majlis perasmian Penutupan Konvensyen Mahasiswa GRS dan pelancaran Sayap Pelajar GRS di Kota Kinabalu.
Hajiji dan barisan pemimpin GRS bersama sebahagian mahasiswa pada majlis perasmian Penutupan Konvensyen Mahasiswa GRS dan pelancaran Sayap Pelajar GRS di Kota Kinabalu.

Bercakap mengenai majlis itu, Hajiji mahu lebih ramai mahasiswa Sabah di institusi pengajian tinggi (IPT) awam atau swasta seluruh negara dilibatkan dalam program yang dilaksanakan oleh Sayap Pelajar GRS.

"Menerusi penglibatan mereka dalam program seperti ini, kerajaan akan lebih maklum segala kemahuan atau permintaan yang disuarakan oleh anak-anak muda,” katanya.

Hajiji berkata, selain konvensyen itu, kerajaan negeri telah menyediakan pelbagai platform kepada pelajar untuk berkongsi aspirasi dan juga menyuarakan hak mereka.

"Antaranya ialah penganjuran Majlis Perundingan Pelajar Sabah (MPPS) dan Sekretariat Mahasiswa Sabah Malaysia (Semesta). Semua ini memperlihatkan pengiktirafan kerajaan kepada anak muda terutamanya pelajar.

"Sebagai Ketua Menteri, saya akan meneliti dan mengambil perhatian serius terhadap setiap usul yang dicadangkan demi kepentingan bersama termasuk menerusi konvensyen ini," katanya.

Sehubungan itu Hajiji berkata, kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM16.42 juta dalam Belanjawan 2023 untuk melaksanakan Program Pembangunan Kepimpinan Belia yang meliputi aktiviti kesukarelawan dan perpaduan sosial.

"Semua ini adalah bagi melahirkan pemimpin belia yang berkualiti tinggi. Saya berharap anak muda kita akan mengambil peluang segala inisiatif yang disediakan kerajaan kerana anda semua adalah aset yang perlu diberi peluang dalam pembangunan ekonomi negeri,” katanya.

Beliau turut mengajak mahasiswa untuk terus memberi sokongan kepada kerajaan dalam usaha membawa Sabah lebih maju dan makmur serta menjayakan Hala Tuju Sabah Maju Jaya.