Polis cekup 12 'superman'

Polis mengesan penunggang motosikal melakukan aksi berbahaya di Lebuhraya Kuala Lumpur - Seremban pada Ahad.
Polis mengesan penunggang motosikal melakukan aksi berbahaya di Lebuhraya Kuala Lumpur - Seremban pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Aksi 'superman' di Lebuhraya Kuala Lumpur - Seremban, dekat sini memakan diri apabila 12 penunggang motosikal ditahan secara berasingan pada Ahad.

Lagak penunggang terbabit dikesan menerusi Op Samseng Jalanan oleh sepasukan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman bermula kira-kira jam 12.20 tengah malam.

Menurut sumber, kesemua 12 penunggang terbabit membabitkan kumpulan lain yang ditahan secara berasingan.

"Penunggang itu dikesan melakukan aksi meniarap atas motosikal sambil meluruskan kedua-dua kaki ke belakang (superman), bersaing sesama sendiri serta zig-zag.

"Aksi itu jelas membahayakan kepada mereka dan pengguna jalan raya lain," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata, kesemua penunggang terbabit dipercayai dalam perjalanan pulang selepas menghadiri program di sebuah restoran terkenal di Seremban, Negeri Sembilan.

Katanya, kesemua motosikal jenis Yamaha 135LC dan Yamaha Y15ZR telah disita untuk tindakan lanjut.

"Mereka yang ditahan berusia lingkungan 16 hingga 21 tahun masing-masing dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai, Seremban, Serdang dan Kajang," ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.