Peranan aktif raja-raja Melayu

A
A
A

PADA masa ini institusi raja-raja Melayu sering diperkatakan oleh golongan kebanyakan. Terdapat banyak salah faham tentang institusi raja-raja Melayu dalam kalangan rakyat jelata. Raja-raja Melayu bukan hanya penzahiran adat istiadat semata tetapi mempunyai kuasa tertentu yang tidak boleh dipertikai mana-mana pihak.

Pemilihan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatudin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, baru-baru ini adalah manifestasi keunikan sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia. Pemilihan raja Melayu sebagai Yang di-Pertuan Agong tidak berlaku di mana-mana negara lain selain Malaysia.

Hakikat sebenarnya sebelum Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, negeri-negeri Melayu merupakan negara-negara yang berdaulat, dimiliki oleh rajanya sendiri dan rakyat menundukkan ketaatan mereka kepada raja masing-masing.

Negeri-negeri Melayu ini dibahagikan kepada Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu. Pulau Pinang dan Melaka pula diletakkan sebagai Negeri Selat.

Tatkala menggarap persetujuan mencapai kemerdekaan, raja-raja Melayu menjadi penandatangan penting kepada perjanjian tersebut kerana mereka mempunyai jajahan sendiri. Malah mewakili Negeri Sembilan, empat Dato Undang juga menjadi penandatangan persetujuan tersebut kerana setiap Dato Undang di Negeri Sembilan juga mempunyai jajahan mereka sendiri.

Begitulah peri pentingnya kesultanan Melayu di Malaysia. Malah di Malaysia kita mengistilahkan penguasa di Malaysia sebagai ‘kerajaan’ bukan ‘pemerintah’. Kalimah kerajaan mempunyai akar kata raja yang menggambarkan kepentingan raja itu sendiri dan bukan penguasa yang memerintah dengan istilah pemerintah seperti di Singapura umpamanya.

Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan menukilkan kuasa eksekutif Persekutuan terletak kepada Yang di-Pertuan Agong, bukan perdana menteri atau pihak lain. Perkara 39 ini menyatakan Kuasa Eksekutif Persekutuan hendaklah terletak hak pada Yang di-Pertuan Agong dan tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang Persekutuan dan peruntukan Jadual Kedua, bolehlah dijalankan olehnya atau oleh jemaah menteri atau oleh mana-mana menteri yang diberi kuasa oleh jemaah menteri, tetapi Parlimen boleh, melalui undang-undang, memberikan fungsi eksekutif kepada orang lain.

Persekutuan Malaysia begitu unik mempunyai mekanisme semak dan imbangnya yang tersendiri. Mungkin ada kelemahan dalam kalangan individu yang mengisi jawatan tertentu namun mempertahankan institusi raja sangatlah perlu kerana ia merupakan jati diri negara kita.

Artikel Berkaitan:

Sebagai ketua agama, raja-raja Melayu bertanggungjawab mempertahankan agama Islam. Ia selaras dengan sumpah baginda memelihara agama Islam pada setiap masa. Oleh sebab itulah raja-raja Melayu menolak tindakan kerajaan meratifikasi Statut Rom kerana ia memberi kesan kepada kemuliaan raja-raja Melayu serta kedaulatan negara.

Kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan bukanlah mutlak. Ia boleh dan telah disekat oleh undang-undang. Rakyat bebas mengeluarkan pandangan dan mengkritik tindakan raja-raja Melayu begitu juga memujinya. Namun perlulah disulami dengan nilai ketimuran dan adab sopan dan tidak mencemarkan kemuliaan institusi raja itu sendiri.

Malah Perlembagaan Persekutuan membuat peruntukan khusus sekiranya mana-mana orang yang tidak berpuas hati terhadap perlakuan peribadi mana-mana raja-raja Melayu sama ada dalam kes jenayah atau kes sivil boleh membawa tindakan tersebut ke Mahkamah Khas menurut Perkara 182 dan 183 Perlembagaan Persekutuan. Raja-Raja juga boleh memulakan tindakan terhadap mana-mana orang melalui peruntukan yang sama.

Marilah kita sama-sama menginsafi kedudukan yang dijamin Perlembagaan Persekutuan ini. Kita pertahankan jati diri negara ini. Jangan alihkan institusi raja-raja Melayu ini dari istana ke muzium sebagaimana yang terjadi di beberapa negara lain.

Sudah sampai masanya raja-raja Melayu memainkan peranan aktif dalam menstabilkan dan memelihara keamanan negara.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia