Tindakan MKT UMNO kejutkan ramai pihak - Onn Hafiz

Onn Hafiz hadir Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina peringkat negeri di Dewan Che Ann Khor, Yong Peng pada Sabtu.
Onn Hafiz hadir Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina peringkat negeri di Dewan Che Ann Khor, Yong Peng pada Sabtu.
A
A
A

BATU PAHAT - Keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Jumaat, mengenakan tindakan disiplin terhadap beberapa tokoh yang dilihat cenderung mengkritik kepimpinan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengejutkan banyak pihak.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, keputusan itu turut membuatkan ramai berduka cita dengan pemecatan dan penggantungan beberapa pemimpin UMNO tersebut.

"Secara peribadi saya rasa ramai yang terkejut dan sedih dengan apa yang diputuskan semalam.

"Daripada segi persepsi sudah tentu kita perlu 'manage' sama ada di peringkat ahli parti dan juga di peringkat rakyat secara umum.

"Saya rasa ini satu tanggungjawab besar untuk pucuk pimpinan melihat pada persepsi umum dan apa yang sedang berlaku di bawah," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina peringkat negeri di Dewan Che Ann Khor, Yong Peng.

Hadir sama Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Exco Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon dan Exco Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Lee Ting Han.

Mesyuarat MKT UMNO pada Jumaat membuat keputusan memecat keahlian bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Selain itu, UMNO turut mengumumkan penggantungan selama enam tahun beberapa pemimpinnya seperti Ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan.

Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Hasni Mohamad pula digugurkan daripada jawatannya sebagai Pengerusi UMNO Johor dan tempat beliau diambil alih Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi.

Dalam pada itu, Onn Hafiz Ghazi berkata, pimpinan negeri akan terus fokus kepada usaha pembangunan negeri dan semangat perpaduan rakyat negeri Johor.

"Kerajaan negeri berharap perkara berkenaan tidak mengganggu fokus pentadbiran negeri ini dalam menjadikan Johor sebagai sebuah negeri maju menjelang 2030," katanya.