Pucuk pimpinan UMNO kini tidak patuh undang-undang - Noh

Noh Omar
Noh Omar
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar menyifatkan UMNO di bawah pucuk pimpinan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden parti, tidak patuh kepada undang-undang.

Menurut beliau, UMNO pada hari ini juga tidak mengikuti perlembagaan dan bertindak sesuka hati selagi mana mereka mendapat kepentingan diri masing-masing.

“Lebih menyedihkan ramai lagi pemimpin lain seperti Khairy Jamaluddin Abu Bakar, tokoh muda seperti Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan dan juga Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, merupakan seorang pemimpin yang dikenali.

“Ramai lagi pemimpin-pemimpin yang dilihat berani bersuara tetapi telah pun diambil tindakan kerana Presiden tidak mahu saya dan mereka yang diambil tindakan ini memberikan pandangan untuk masa depan UMNO,” katanya menerusi kenyataan dimuat naik di Instagramnya pada Sabtu.

Dalam pada itu, Noh juga mempertikaikan keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dalam menggantung keahliannya selama enam tahun sebelum parti itu mengeluarkan kenyataan secara sah bahawa beliau telah pun dipecat.

Menurut beliau, keputusan tersebut tidak seharusnya berlaku kerana beliau telah pun mendapat surat tunjuk sebab dan akan dipanggil oleh Lembaga Disiplin UMNO pada Isnin (30 Januari).

“Namun belum sempat dipanggil, keputusan telah pun dibuat malam tadi dengan menggantung keahlian saya.

“Jadi oleh kerana saya tidak mahu bersekongkol dengan pemimpin atau Presiden UMNO, yang boleh menguburkan UMNO, maka daripada saya digantung, lebih baik saya terus dipecat,” katanya.

Semalam Sinar Harian ada melaporkan, keputusan mesyuarat MKT UMNO pada Jumaat memaklumkan bahawa Noh dan Khairy telah pun dipecat daripada pucuk pimpinan parti berkenaan.

Dalam pada itu, beberapa pemimpin juga digantung keahlian selama enam tahun seperti Ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan.

Turut menerima nasib sama ialah Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan Datuk Seri Mohd Salim Sharif.

Parti itu turut mengambil keputusan memecat lima orang ahli UMNO Bahagian Pasir Gudang, sembilan orang ahli UMNO Bahagian Putrajaya, Dua orang ahli UMNO Bahagian Tanjung Karang dan 26 orang ahli UMNO dari negeri Pahang.

Pun demikian, dalam satu kenyataan, Ahli MKT UMNO, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, keputusan penggantungan Noh itu bukan disebabkan pendirian pemimpin itu berkaitan usul yang dibawa pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.

Sebaliknya, beliau menjelaskan, ia dilakukan kerana terdapat 16 pertuduhan terhadap Noh termasuk melibatkan tindakan sabotaj kepada parti pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu.

Megat yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor berkata, Noh sudah diberi ruang untuk bercakap mengenai dakwaan tersebut termasuk diminta bertemu dengan Lembaga Disiplin sebanyak dua kali.