ASF: Lapor pihak berkuasa jika jumpa babi mati

Orang awam dan penternak babi di Negeri Sembilan diminta segera melaporkan penemuan atau kejadian kematian babi hutan atau ternakan babi komersial kepada JPV susulan terdapat satu kes positif penyakit ASF di negeri ini. - Gambar hiasan
Orang awam dan penternak babi di Negeri Sembilan diminta segera melaporkan penemuan atau kejadian kematian babi hutan atau ternakan babi komersial kepada JPV susulan terdapat satu kes positif penyakit ASF di negeri ini. - Gambar hiasan
A
A
A

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Orang awam dan penternak babi di Negeri Sembilan diminta segera melaporkan penemuan atau kejadian kematian babi hutan atau ternakan babi komersial kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) susulan terdapat satu kes positif penyakit Demam Babi Afrika (ASF) di negeri ini.

Pengarah JPV Negeri Sembilan, Dr Kamarulrizal Mat Isa berkata, pihaknya menerima laporan kematian seekor babi hutan jantan dewasa di Ladang Sengkang, Pasir Panjang, Port Dickson pada 3 Januari lepas.

"Pekerja di ladang berkenaan menemui bangkai babi hutan tersebut dan semasa siasatan, didapati bangkai babi itu telahpun mereput, sampel tulang telah diambil untuk ujian lanjut.

"Keputusan ujian makmal secara real time PCR menunjukkan ia positif penyakit demam babi afrika (ASF)," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pegawai JPV Negeri Sembilan menabur kapur di lokasi penemuan bangkai babi bagi tujuan nyah kuman. - Foto JPV Negeri Sembilan
Pegawai JPV Negeri Sembilan menabur kapur di lokasi penemuan bangkai babi bagi tujuan nyah kuman. - Foto JPV Negeri Sembilan

Ujarnya, susulan itu, sebagai langkah kawalan dan pencegahan penyakit ASF, surat pemakluman tentang kejadian penyakit ASF pada babi hutan berkenaan dikeluarkan kepada semua pejabat perkhidmatan veterinar daerah dan negeri.

"Surat pemakluman turut dipanjangkan kepada penduduk tempatan melalui ketua kampung, persatuan, pemburu babi hutan, penternak babi komersil serta agensi-agensi yang berkaitan seperti pejabat daerah dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan).

"Larangan memburu babi hutan turut dikeluarkan oleh pihak Perhilitan," katanya.

Katanya, bagaimanapun sehingga kini, jangkitan penyakit ASF di Negeri Sembilan adalah terkawal. Tiada lagi laporan kematian babi hutan mahupun ternakan babi komersil dan tiada kejadian kes ASF.

Sebelum ini, dilaporkan pengesanan penyakit ASF pada seekor seekor babi hutan yang mati di Kampung Parit, Kuala Pilah pada 28 Oktober tahun lalu.

Sementara itu, Dr Kamarulrizal meminta orang ramai supaya tidak bimbang akan penyakit ASF itu berikutan ia bukan penyakit zoonotik iaitu tidak menjangkiti manusia.

"Saya perasan netizen tularkan surat pemakluman tentang penyakit ASF dan meminta orang ramai supaya jangan bercuti ke Port Dickson nanti terjangkit, maklumat itu salah," katanya.