‘Kerajaan baharu perlu diberikan masa’

KUALA LUMPUR - Kerajaan Perpaduan diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu diberikan masa walaupun pernah menaburkan pelbagai janji ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim bagaimanapun berkata, mereka tidak boleh melengahkan dan perlu menyegerakan janji termasuk melaksanakan agenda reformasi agar usaha itu tidak dibiarkan begitu sahaja.
“Masa tempoh berkempen mereka sudah selesai. Sejujurnya kita harus menyatakan berilah mereka ruang dahulu.
“Berilah mereka masa sedikit oleh kerana baru lagi masuk pejabat dan lebih sedikit dua bulan,” katanya ketika menyampaikan Syarahan Parlimen Siri 1.0: Reset Ekonomi Malaysia di Parlimen di sini pada Jumaat.