Filipina 'mengelak' siasatan ICC lagi

Menardo Guevarra. - Foto: Agensi
Menardo Guevarra. - Foto: Agensi
A
A
A

MANILA - Pemerintah Filipina pada Jumaat menyuarakan hasrat mereka untuk merayu keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang mahu membuka semula siasatan terhadap kempen antidadah yang dilancarkan di bawah kepimpinan Presiden Rodrigo Duterte.

Rancangan itu diumumkan Menardo Guevarra yang merupakan Peguam Cara Negara pentadbiran Presiden Ferdinand Marcos Jr setelah kumpulan hak asasi manusia menyambut baik pengumuman tribunal tersebut.

"Kami mahu menekankan bahawa proses siasatan dan kehakiman domestik kami sendiri perlu diutamakan berbanding kuasa ICC.

"Manila mahu menunjukkan bahawa walaupun terdapat batasan struktur dan sumber dalam sistem perundangan negara ini. Ia masih sebuah sistem yang dapat berfungsi dengan baik dan memberikan keputusan positif mengikut jangka masa sendiri," jelasnya.

Data rasmi kerajaan menunjukkan lebih 6,100 terbunuh di bawah 'perang dadah' Duterte walaupun kumpulan hak asasi manusia percaya sehingga 30,000 sebenarnya terkorban dalam kempen berkenaan.

Marcos Jr berikrar untuk meneruskan kempen kontroversi tersebut dengan memfokuskan langkah pencegahan dan pemulihan.

Hanya tiga anggota polis disabit bersalah melakukan pembunuhan di bawah ‘perang dadah’ tersebut, manakala seorang lagi rakan mereka dihukum penjara pada November 2022 kerana memalsukan bukti dan mendera dua remaja ketika operasi berkenaan.

Tribunal berpusat di The Hague itu melancarkan siasatan pada 2019, namun digantung atas permintaan Duterte yang melancarkan kempen perangi dadah secara habis-habisan pada 2016 kerana Manila mahu memeriksa semula kes berkaitan penyalahgunaan kuasa seperti didakwa banyak pihak. - AFP