Maut dipukul rakan gara-gara tuntut hutang RM250

Seorang warga emas berusia 76 tahun maut akibat dipukul menggunakan kerusi plastik oleh rakannya. - Foto PDRM
Seorang warga emas berusia 76 tahun maut akibat dipukul menggunakan kerusi plastik oleh rakannya. - Foto PDRM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga emas maut dipukul rakannya menggunakan kerusi plastik selepas mangsa cuba meminta hutang berjumlah RM250 dalam kejadian di sebuah kedai makan di Jalan Prima 2, Metro Prima, Kepong di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima panggilan dari seorang lelaki berusia 48 tahun memaklumkan mengenai pergaduhan berkenaan sekitar jam 7.30 pagi tadi.

"Siasatan awal dilakukan mendapati berlaku pergaduhan membabitkan dua lelaki jam 6.45 pagi di hadapan kedai makan berkenaan dengan seorang lelaki berusia 76 tahun meninggal dunia di tepi jalan kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.

"Dalam pergaduhan itu, mangsa dipukul suspek yang berusia 63 tahun menggunakan sebuah kerusi plastik, manakala mangsa membalas serangan suspek menggunakan rod kabel,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Eng Lai berkata, pergaduhan itu bagaimanapun berjaya dileraikan oleh anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang kebetulan berada di lokasi kejadian.

"Mangsa kemudian beredar dengan berjalan sebelum rebah dan meninggal dunia di tepi jalan berhampiran lokasi kejadian.

"Kami telah menahan suspek ketika dia hadir di Balai Polis Kepong bagi membuat laporan berhubung pergaduhan itu kira-kira jam 11 pagi tadi,” katanya.

Beliau berkata, pihak polis merampas sebuah kerusi plastik dan sebatang rod kabel dipercayai digunakan dalam pergaduhan berkenaan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasatan.

"Pergaduhan itu dipercayai berpunca daripada masalah hutang dengan suspek yang juga rakan lamanya gagal menjelaskan hutang kepada mangsa sebanyak RM250.

"Semakan dilakukan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah. Permohonan reman suspek akan dibuat esok," ujar beliau.