'Ada pihak ambil kesempatan kes rakyat Malaysia terperangkap'

Abd Jalil ketika sidang akhbar di KLIA, Sepang mengenai kejayaan membawa pulang lima rakyat Malaysia yang terperangkap di Kemboja.
Abd Jalil ketika sidang akhbar di KLIA, Sepang mengenai kejayaan membawa pulang lima rakyat Malaysia yang terperangkap di Kemboja.
A
A
A

SEPANG - Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menolak kemungkinan terdapat badan bukan kerajaan (NGO) yang mengambil kesempatan terhadap keluarga mangsa yang terperangkap di luar negara untuk dibawa pulang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, siasatan akan dijalankan pihaknya terhadap mana-mana pihak terbabit yang mengambil kesempatan.

Menurutnya, hasil rundingan dan usaha delegasi Malaysia dengan pihak berkuasa Kemboja berjaya menyelamatkan lima mangsa berusia 16 hingga 42 tahun termasuk seorang wanita.

"Pihak berkuasa Kemboja memaklumkan kebanyakan mangsa yang diselamatkan bukan mangsa pemerdagangan orang sebaliknya maklumat dicipta sendiri oleh mereka bagi tujuan untuk diselamatkan.

"Selain itu, pihak berkuasa Kemboja juga kecewa dengan laporan sesetengah media atau NGO di sini (Malaysia) yang melaporkan fakta tidak benar," katanya ketika sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, ada pihak sengaja menakutkan keluarga dengan menyebarkan video konon ada individu yang diseksa sindiket.

Katanya, walhal kejadian itu tidak benar dan dipercayai untuk mengambil kesempatan terhadap ahli keluarga.

Abd Jalil dan Mohd Ani (kanan) bertemu dengan lima rakyat Malaysia yang berjaya dibawa pulang selepas terperangkap di Kemboja.
Abd Jalil dan Mohd Ani (kanan) bertemu dengan lima rakyat Malaysia yang berjaya dibawa pulang selepas terperangkap di Kemboja.

"Dakwaan mengenai keadaan mangsa oleh pihak NGO di Malaysia adalah tidak berasas. Mengikut pihak berkuasa di sana (Kemboja), mereka yang mendakwa sebagai mangsa adalah berhutang dengan pusat judi di Kemboja.

"Ada yang berhutang dengan ahlong di Kemboja dan tidak mampu membayar, bekerja dengan scammer dan gagal capai petunjuk prestasi utama (KPl) selain menetap di hotel namun gagal membayar.

"Kita juga kesan ada mangsa yang dibawa pulang ke Malaysia, tapi kembali semula ke Kemboja," katanya.

Tegasnya, pihak berkuasa Kemboja juga memaklumkan segala maklumat penyelamatan mangsa adalah melalui Kedutaan Malaysia atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan maklumat yang disalurkan oleh pihak lain tidak akan dilayan kerana dikhuatiri mengganggu siasatan.

"Tapi, kita juga akui ada NGO yang ikhlas dan sukarela membantu waris mangsa dengan menyalurkan maklumat kepada kita (polis)," katanya.

Sementara itu, Ketua Protokol dan Konsular Kementerian Luar, Mohd Aini Atan berkata, apa yang ditularkan telah mempengaruhi persepsi masyarakat.

"Kita akan bantu siapa sahaja rakyat Malaysia dan akan pastikan secepat mungkin untuk dibawa pulang.

"Undang-undang negara mereka perlu dihormati. NGO perlu hati-hati kerana apa juga yang dilakukan ada kesannya," katanya.

Untuk info, setakat 26 Januari, PDRM menerima 262 laporan polis membabitkan lebih 300 mangsa yang terkandas kerana jenayah penipuan kerja dan daripada jumlah itu, 218 orang telah diselamatkan.