Denda sehingga RM500,000 tiada lesen anjur sukan bermotor

Hannah (kiri) melawat pameran sukan permotoran sempena sidang media mengenai penganjuran sukan bermotor di Subang Jaya pada Jumaat. - Foto Bernama
Hannah (kiri) melawat pameran sukan permotoran sempena sidang media mengenai penganjuran sukan bermotor di Subang Jaya pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) menegaskan syarat untuk mendapatkan lesen sebelum penganjuran sukan bermotor bukan perkara baharu, sebaliknya ia adalah peraturan yang sudah digunapakai sebelum ini.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, semua penganjuran pertandingan acara itu perlu memohon kebenaran dan mendapatkan lesen daripada Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) sebelum tarikh penganjuran.

"Selepas sidang akhbar hari ini (Jumaat), tak ada lagi pihak yang mengatakan bahawa mereka tidak tahu perlu dapatkan lesen penganjuran," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar penganjuran acara sukan bermotor di Malaysia di Subang Jaya, Shah Alam pada Jumaat.

Hannah menegaskan denda antara RM50,000 sehingga RM500,000 boleh dikenakan kepada penganjur acara sukan bermotor sekiranya gagal memenuhi syarat memohon lesen penganjuran daripada PJS seperti termaktub di bawah Seksyen 36 Akta Pembangunan Sukan 1997.

Menurutnya, penganjur juga perlu memilih litar yang sudah melalui pemeriksaan oleh Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) serta memohon lesen untuk menganjurkan sukan bermotor.

"Permohonan lesen untuk menganjurkan acara sukan bermotor perlu dibuat dalam tempoh 30 hari bagi acara tempatan dan 90 hari untuk acara antarabangsa sebelum pertandingan diadakan.

"Ini selaras dengan Seksyen 36 Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576) yang memperuntukkan syarikat hendaklah memohon lesen untuk beroperasi.

"KBS bekerjasama dengan PDRM (Polis Diraja Malaysia) untuk memastikan penganjur mematuhi semua peraturan yang ditetapkan dan tindakan perundangan boleh dikenakan sekiranya gagal mematuhi atau berlaku cuai sebelum, semasa dan selepas penganjuran," katanya.

Hannah menegaskan, tindakan KBS itu bagi mengelak perkara tidak diingini seperti insiden pertandingan CCT Battle of Champion di Litar Dato Sagor, Kampung Gajah, Pasir Salak, Perak yang menyebabkan seorang penonton maut.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang pada 31 Disember lalu, Muhammad Amir Mohd Yusoff, 32, dari Taiping disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Changkat Melintang, Lambor Kanan akibat kecederaan parah di kepala dan pendarahan di paru-paru.