PRN Kedah: PH, BN, tak boleh bersikap sebagai 'abang besar'

Mahfuz Omar - Foto Bernama
Mahfuz Omar - Foto Bernama
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Parti-parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan termasuk Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) tidak boleh bersikap umpama 'abang besar' atau mahu lebih dominan dalam menentukan formula agihan kerusi sekiranya gabungan itu bekerjasama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tahun ini.

Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, gabungan parti politik dalam Kerajaan Perpaduan harus menerima hakikat dan bersikap terbuka sekiranya masing-masing terpaksa mengecilkan jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi berbanding pilihan raya umum (PRU) sebelum-sebelum ini.

Menurutnya, sekiranya PH dan BN bakal menjalin kerjasama dalam PRN, ini bermakna tiada parti yang boleh menguasai sepenuhnya kerusi DUN yang akan ditandingi.

“Semua harus terbuka dan terima hakikat, setiap parti terlibat dalam gabungan ini harus kecilkan jumlah kerusi ditandingi, masing-masing tak boleh lagi bertanding sebagai ‘abang besar’, perlu ada agihan yang adil di setiap bahagian.

“PH telah pun melalui proses itu sebelum ini, itulah yang akan kami lakukan dengan BN pula,” katanya ketika ditemui di sini pada Jumaat.

Mahfuz tegaskan, proses rundingan antara PH dan BN di peringkat negeri untuk menghadapi PRN belum diadakan secara rasmi, namun pertemuan awal kalangan pimpinan tertinggi kedua-dua parti telah bermula.

“Saya harap selepas selesai Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 akan dimulakan rundingan untuk hadapi PRN. Ini kerana PH pusat sudah maklumkan negeri sudah boleh mulakan perbincangan persiapan PRN termasuk agihan kerusi,” ujarnya.

Namun Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu tidak menolak kemungkinan akan berlaku perbezaan pandangan dalam proses agihan kerusi membabitkan BN dan PH Kedah, susulan ia merupakan kerjasama baharu.

“Itu perkara biasa dalam proses rundingan, ibarat nak pergi meminang (perkahwinan), kita runding dan letak harga, tawar menawar namun akhirnya bila capai kata sepakat antara dua pihak dan semua setuju, selesailah masalah,” katanya.

Menurutnya lagi, sehubungan itu setiap pihak harus berjiwa besar dan merendahkan ego masing-masing.

“Kita tidak ada panduan khusus untuk rundingan, bergantung kepada kebijaksanaan pemimpin di negeri kerana setiap negeri mempunyai budaya politik berbeza,” tegasnya.

Tambah Mahfuz, kedua-dua gabungan kini sedang giat melaksanakan proses penerangan secara berterusan kepada akar umbi berhubung kerjasama bawah Kerajaan Perpaduan.

Pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, PH belum mengadakan perbincangan rasmi dengan BN berhubung pembahagian kerusi yang akan ditandingi kedua-dua gabungan itu dalam PRN di enam negeri.

Namun, Anwar yang juga Pengerusi PH berkata, tiada halangan untuk pimpinan parti itu di peringkat negeri mengadakan perbincangan dengan BN berhubung perkara tersebut.

Selain Kedah, lima lagi negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan belum mengadakan PRN bersekali dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang diadakan pada November tahun lalu.