Sorok 2,980kg minyak masak peket dalam bilik sauna terbiar

Jegan (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan peket minyak masak yang dirampas.
Jegan (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan peket minyak masak yang dirampas.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang merampas 2,980 kilogram (kg) minyak masak peket bersubsidi dalam serbuan di stor simpanan tidak bernombor di sebuah apartmen di Jalan Bukit Gambir, Georgetown, pada Rabu.

Pengarahnya, S Jegan berkata, serbuan yang dilakukan jam 10 pagi itu hasil daripada risikan selama dua minggu susulan aduan yang diterima daripada orang ramai.

Menurutnya, seorang lelaki dipercayai penganggur turut ditahan dalam premis terbabit yang sebelum ini merupakan sebuah bilik sauna terbiar yang kemudiannya digunakan sebagai ruang untuk menyimpan minyak masak berkenaan.

“Siasatan awal mendapati, minyak masak peket seberat 1kg setiap satu itu diperoleh tanpa lesen CSA (barang kawalan berjadual) borong atau runcit.

“Anggaran jumlah keseluruhan nilai rampasan adalah RM6,407,” katanya pada sidang akhbar di sini, pada Khamis.

Jegan berkata, hasil siasatan mendapati suspek berusia 40 tahun itu merupakan anak kepada pemilik premis tersebut yang tidak berada di lokasi ketika serbuan dilakukan.

Katanya, pihak KPDN masih menjalankan siasatan lanjut termasuk bagi mengenal pasti modus operandi yang digunakan dalam kegiatan itu selain berapa lamakah mereka telah beroperasi.

“Siasatan juga masih dibuat bagi mengenal pasti bekalan minyak itu diperoleh dan kepada siapa diedarkan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Bagi kesalahan kedua dan seterusnya pula, mereka yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.