PESAT, GAPAN agih bantuan banjir di Terengganu

Rosliza Akma (kanan) dengan kerjasama GAPAN menyerahkan sumbangan kepada Pegawai Daerah Besut, Azran Amin Mazlan pada pelancaran misi bantuan banjir Terengganu di Pejabat Daerah Besut.
Rosliza Akma (kanan) dengan kerjasama GAPAN menyerahkan sumbangan kepada Pegawai Daerah Besut, Azran Amin Mazlan pada pelancaran misi bantuan banjir Terengganu di Pejabat Daerah Besut.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Anak-Anak Terengganu di Selangor dan Wilayah Persekutuan (PESAT) dengan kerjasama Gabungan Persatuan Anak Negeri (GAPAN) melancarkan misi bantuan banjir di beberapa daerah terjejas teruk di Terengganu.

Presiden PESAT, Rosliza Akma Zakaria berkata, misi yang disertai sukarelawan PESAT dan GAPAN itu berlangsung selama dua hari pada 18 dan 19 Januari lalu.

Menurutnya, sumbangan berupa barangan makanan dan keperluan asas diagihkan kepada mangsa banjir yang melanda negeri itu pada Disember tahun lalu itu bertujuan meringankan beban penduduk.

"Biarpun sudah hampir sebulan musibah berlalu, kami yakin masih banyak yang diperlukan mangsa bukan saja bagi membaik pulih kerosakan rumah yang dialami tetapi juga untuk memulakan kehidupan baru mereka selepas bencana," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Rosliza Akma berkata, meskipun jauh di ibu negara, namun pihaknya prihatin dengan aspek kebajikan dan kesejahteraan diperlukan mangsa terjejas.

"Bukan mudah untuk mangsa berhadapan dengan banjir kali ini kerana kebanyakan barangan dan harta benda termasuk kediaman mereka musnah serta rosak teruk dalam sekelip mata," jelas beliau.

Sebahagian ahli PESAT dan GAPAN bergambar pada misi bantuan banjir di beberapa daerah terjejas teruk di Terengganu pada Disember tahun lalu.
Sebahagian ahli PESAT dan GAPAN bergambar pada misi bantuan banjir di beberapa daerah terjejas teruk di Terengganu pada Disember tahun lalu.



Rosliza Akma yang mengetuai misi bantuan itu memberitahu, selain bantuan keperluan kepada keluarga terjejas misi itu turut menyampaikan sumbangan berupa permaidani kepada Musolla Ibnu Khaldun Sekolah Kebangsaan (SK)Nyiur Tujuh, Jertih Besut yang rosak dalam kejadian banjir sama.

Kata beliau, bantuan itu disampaikan kepada Guru Besar SK Nyiur Tujuh, Hasrie Ismail dan turut menyerahkan sumbangan kepada Pegawai Daerah Besut, Azran Amin Mazlan untuk diagihkan kepada mangsa banjir di daerah berkenaan.