Jangan sekadar cakap sahaja

Pemain Sarawak United masih menunggu pembayaran gaji oleh pengurusan pasukan. - Foto FB Sarawak United FC
Pemain Sarawak United masih menunggu pembayaran gaji oleh pengurusan pasukan. - Foto FB Sarawak United FC
A
A
A

PERSATUAN Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) mengharapkan Sarawak United tidak hanya cakap kosong sebaliknya mengotakan janji melunaskan tunggakan gaji pemain mereka.

Timbalan Presiden PFAM, Razman Roslan berkata, pihaknya akan terus memantau langkah pembayaran yang akan dilakukan oleh Sarawak United.

“Alhamdulillah bagi PFAM jika Sarawak United mahu selesaikan tunggakan tersebut. Tetapi, kita minta jangan cakap sahajalah sebab masalah tunggakan gaji ini menyebabkan pemain merana lama.

“Kita juga akan sentiasa pantau dan jika kelab itu sudah bayar, maka pemain akan hantar laporan atau resit kepada PFAM. Jadi kalau tetap tak bayar, kita akan ambil tindakan seterusnya,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Pada Isnin, Presiden Sarawak United, Datuk Posa Majais berjanji kelab itu akan membayar tunggakan gaji pemain berjumlah lebih RM400,000 menjelang Mac depan.

Sebelum ini juga, Sarawak United pernah berjanji untuk melunaskan pembayaran gaji pada September, namun beberapa pemain pasukan itu menafikan dan mereka tidak dibayar penuh seperti dijanjikan.

Selain Sarawak United, Melaka United FC (MUFC) yang berdepan tunggakan gaji pemain berjumlah RM2.3 juta juga masih berdiam diri.

Razman berkata, campur tangan Kerajaan Negeri Melaka diperlukan bagi menyelesaikan masalah itu.

Menurutnya, keengganan mana-mana pihak selain tuding menuding antara pengurusan MUFC dan Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) mengeruhkan lagi keadaan.

Menurutnya, kerajaan negeri perlu untuk campur tangan dalam perkara tersebut apatah lagi ia membabitkan nama baik Melaka itu sendiri.

“Ini tanggungjawab kelab itu dan mereka tidak boleh lepas tangan. Kita minta kerajaan negeri untuk campur tangan kerana pertikaian antara Melaka United dan MUSA ini tidak akan membawa kepada penyelesaian tunggakan gaji tersebut.

“Nama Melaka juga sedikit sebanyak akan terkesan dengan isu ini. Jadi, kita harap kerajaan negeri perlu ambil tanggungjawab dan selesaikan perkara ini,” katanya.

Tambah Razman, PFAM juga sudah bersedia dengan langkah seterusnya untuk menghukum Melaka United sekiranya tidak tampil untuk menyelesaikan tunggakan tersebut.