Turkiye 'hukum' Sweden

Penunjuk perasaan membakar gambar Rasmus Paludan di kedutaan Sweden di Istanbul, Turkiye. - AFP
Penunjuk perasaan membakar gambar Rasmus Paludan di kedutaan Sweden di Istanbul, Turkiye. - AFP
A
A
A

ISTANBUL - Turkiye bertindak menangguhkan rundingan keanggotaan penyertaan Sweden dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang sekali gus menjejaskan harapan negara Nordic untuk menyertai pakatan pertahanan Barat selepas pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

Pengumuman itu dibuat Ankara selepas Presiden Recep Tayyip Erdogan menyelar Sweden kerana membenarkan protes hujung minggu termasuk pembakaran naskah al-Quran di luar kedutaan Turkiye di Stockholm pada Sabtu lalu.

Satu sumber diplomatik Turkiye berkata, mensyuarat tiga pihak itu telah ditunda dari Februari ke 'tarikh seterusnya' tanpa memberikan maklumat lanjut.

Keputusan itu sekali gus menipiskan peluang kedua-dua negara menyertai NATO.

Susulan insiden tersebut, Perdana Menteri Sweden, Ulf Kristersson menggesa semua pihak 'bertenang' dan dapat kembali mengadakan rundingan antara Sweeden, Finland dan Turkiye.

Katanya, terdapat 'provokasi' yang mahu menggagalkan hubungan Sweden dengan negara lain dan membantutkan usaha menyertai NATO yang diketuai Amerika Syarikat (AS).

"Tiada persoalan keselamatan negara yang lebih penting daripada kami bersama Finland untuk menjadi anggota NATO," katanya.

Finland yang berkongsi sempadan dengan Rusia dan Sweden telah memutuskan untuk menyertai NATO pada Jun lalu.

Kemudian, tawaran keanggotaan mereka disahkan oleh 28 daripada 30 negara, dengan menonjolkan isu-isu terdesak dalam berdepan dengan pencerobohan Rusia.

Bagaimanapun, tawaran untuk menyertai NATO mesti diluluskan semua negara anggota yang mana Turkiye adalah satu daripada pakatan pertahanan itu. - AFP


Siapa Rasmus Paludan


- Paludan adalah pemimpin parti haluan kanan Hard Line Denmark

- Parti Hard Line terkenal dengan dasar anti-Islam.

- Pada 2020, dia diharamkan masuk Sweden kerana memperjuangkan dasar anti-pendatang memberi risiko keselamatan.

- Pada 2019, Paludan pernah membakar al-Quran dengan dikelilingi daging babi di Norrebro, pinggir Copenghagen, Denmark

- April 2022, Paludan pernah mengumumkan 'jelajah bakar al-Quran' di kawasan didiami penduduk Islam.

- Pernah didakwa 14 kesalahan termasuk rasis, fitnah dan memandu secara merbahaya.