'Terpaksa masuk lima kedai'

Peniaga makanan terpaksa menghadapi ketidakstabilan harga barangan mentah demi kelangsungan rezeki. - Gambar hiasan
Peniaga makanan terpaksa menghadapi ketidakstabilan harga barangan mentah demi kelangsungan rezeki. - Gambar hiasan
A
A
A

IPOH - Golongan pengusaha restoran masih berdepan harga bahan mentah yang tidak stabil sekali gus menyebabkan harga makanan di premis masing-masing tidak mampu untuk diturunkan.

Seorang pengusaha yang mahu dikenali sebagai Mohd, 38, memaklumkan, amatlah tidak wajar untuk memboikot secara semberono peniaga-peniaga kedai makan kerana mereka ketika ini masih terbeban.

Jelasnya, setiap minggu harga akan berubah-ubah menyebabkan pengusaha tidak mempunyai pilihan, selain menaikkan atau mengekalkan harga sedia ada.

“Setiap minggu, saya akan pergi ke lima kedai atau pasar raya untuk cari bahan-bahan mentah basah dan kering yang dijual pada harga paling murah.

“Itu pun kos operasi meningkat sebab perlu ulang-alik cari barang di banyak kedai.

“Harga memang tak menentu setiap minggu. Contohnya sayur kailan pernah dijual pada harga RM6 hingga RM7 sekilogram tetapi pada minggu yang lain naik sehingga RM14 sekilogram,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Mohd yang terlibat dalam perniagaan makanan sejak tahun 2014 berkata, walaupun ada peniaga yang mengambil kesempatan, namun tidak sepatutnya dilibatkan terhadap peniaga lain.

Dia juga mencadangkan agar peniaga dan pengusaha makanan lebih kreatif mempromosikan produk masing-masing.

“Sebenarnya masyarakat dah faham dan sedar akan kenaikan harga bahan mentah di pasaran ketika ini.

“Kalau peniaga naikkan harga sedikit dan tingkatkan kualiti serta persembahan makanan, pelanggan tak akan merungut.

“Tapi kalau ada peniaga yang naikkan harga secara melampau itu memang patut diambil tindakan atau boikot sahaja,” katanya yang mempunyai restoran di bandar raya Ipoh.

Di KUANTAN, peniaga mengakui kenaikan harga makanan bukan dibuat sesuka hati, sebaliknya langkah itu tidak dapat dielakkan kerana peningkatan kos dan kenaikan harga bahan mentah.

Peniaga gerai makanan tengah hari di Gerai Astaka Beserah di sini, Nora Mahari, 45, mendedahkan dia sedaya upaya cuba mengekalkan harga makanan dijual agar tidak membebankan pelanggan.

“Bagi lauk berasaskan ayam dan sayur, saya masih boleh kekalkan harga tetapi untuk ikan, terpaksa dinaikkan mengikut harga semasa.

“Dalam keadaan peniaga tersepit ketika ini, saranan sedemikian amat tidak wajar dan boleh menjejaskan periuk nasi peniaga makanan keseluruhannya.

“Kalau memang ada kedai yang menjual harga makanan pada harga tinggi melampau, tiada masalah dan langkah itu memang sepatutnya tapi jangan melibatkan semua peniaga,” kata Nora.

Dia yang berniaga makanan sejak 20 tahun lalu, mengakui cukup terbeban dengan kenaikan kos dan harga bahan mentah, namun terpaksa bertahan kerana bergantung kepada hasil perniagaan itu untuk menyara keluarga.

“Alhamdulillah, setakat ini pelanggan yang datang menikmati hidangan di gerai saya tidak pernah merungut.

“Sebagai peniaga, saya amat berharap agar pelanggan dapat menilai harga yang dikenakan peniaga itu sama ada berpatutan atau terlampau tinggi,” jelasnya.