Usia 40 tahun berbaju sekolah ke sekolah

Seramai 60 bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Jelai bertemu semula.
Seramai 60 bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Jelai bertemu semula.
A
A
A

TAMPIN - [DIKEMAS KINI] Selepas dua dekad meninggalkan alam persekolahan, seramai 60 bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Jelai, Gemas tahun 2000, bersua kembali menerusi reunion atau majlis perjumpaan yang diadakan di dewan sekolah berkenaan baru-baru ini.

Lebih menarik, mereka yang kini berusia 40 tahun memilih memakai baju sekolah sekali gus mengimbau kembali kenangan yang telah lama ditinggalkan.

Wakil alumni, Norfarahidah Aliasak, 40, berkata, laman sosial Facebook menjadi pemudah cara kepada usahanya untuk menjejaki rakan-rakan yang telah terputus hubungan.

"Saya sebenarnya dah lama simpan hasrat nak berkumpul dengan rakan-rakan sekolah untuk menjalinkan semula hubungan yang dah terpisah lama.

Tema baju sekolah mengimbau kembali kenangan yang telah lama ditinggalkan.
Tema baju sekolah mengimbau kembali kenangan yang telah lama ditinggalkan.

"Jadi saya dengan rakan, Farahazrul telah hebahkan di Facebook pada November tahun lalu dan dari situ maklumat tersebut tersebar," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Berkenaan pemilihan tema baju sekolah, Norfarahidah berkata, tidak menyangka ia disambut baik oleh mereka meskipun kebanyakannya terpaksa membelinya.

Ujarnya, sememangnya majlis itu dianggap biasa namun membawa makna yang besar buat mereka.

"Kita ahli keluarga nak berkumpul pun susah, ini pula rakan-rakan yang telah lama terputus hubungan kerana kebanyakannya sudah berhijrah luar dari Negeri Sembilan.

"Saya berharap perjumpaan ini dapat menjadi titik permulaan penghubung antara kami semula dan jadi ruang untuk bertukar-tukar pendapat, " katanya.

Menurutnya, mereka turut merancang untuk menjadikan ia sebagai acara tahunan selain bersama-sama menyumbang bakti kepada sekolah.