Op Selamat 19: Perak rekod 12 kematian

Azizi menyantuni orang ramai sempena Kempen Kesedaran dan Keselamatan Jalan Raya Masyarakat Pulang ke Kampung sempena Tahun Baharu Cina bersama Perkeso Perak di Terminal Meru Raya, Ipoh pada Selasa.
Azizi menyantuni orang ramai sempena Kempen Kesedaran dan Keselamatan Jalan Raya Masyarakat Pulang ke Kampung sempena Tahun Baharu Cina bersama Perkeso Perak di Terminal Meru Raya, Ipoh pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Sebanyak 12 kematian direkodkan di Perak sepanjang tujuh hari Op Selamat 19 sempena Tahun Baharu Cina ini.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, statistik itu melibatkan 833 kes kemalangan dengan sembilan daripadanya kemalangan maut.

Menurutnya, berdasarkan jumlah mengikut kenderaan berat pula, tiada kemalangan melibatkan bas ekspres direkodkan setakat ini manakala lori 21 kes.

"Statistik ini menunjukkan penurunan sebanyak 60 peratus berbanding Op Selamat 17 diadakan tahun lepas yang merekodkan 11 kes kemalangan melibatkan bas ekspres dan lori (41)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena Kempen Kesedaran dan Keselamatan Jalan Raya Masyarakat Pulang ke Kampung sempena Tahun Baharu Cina bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Perak di Terminal Meru Raya, di sini pada Selasa.

Hadir sama, Pengarah Perkeso Perak, Zainal Ismail.

Azizi berkata, berdasarkan tinjauan dilakukan, keadaan aliran lalu lintas di seluruh negeri ketika ini mulai sesak terutama menghala ke selatan disebabkan pertambahan kenderaan.

Katanya, antara kawasan yang dikenal pasti berlakunya kesesakan adalah laluan utara-selatan Gunung Semanggol di Kerian, Bukit Berapit (Taiping), Sungai Perak (Kuala Kangsar), Terowong Menora, Ipoh, Simpang Pulai, Gopeng dan Tapah.

"Kita telah menempatkan pegawai trafik di 43 lokasi hotspot iaitu kawasan kerap berlaku kesesakan di seluruh negeri.

"Pihak PLUS Malaysia Berhad (PLUS) juga menempatkan trak tunda di kawasan rehat dan rawat berdekatan sekiranya diperlukan. Semua langkah ini bagi memastikan kelancaran pengguna jalan raya," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berpuas hati dengan pengoperasian bas ekspres

di negeri ini apabila pemeriksaan ke atas pemandu tidak menemukan sebarang kes melibatkan penggunaan dadah dan alkohol.

Ujarnya, pengusaha bas juga didapati memberi kerjasama yang baik dengan merancang jadual perjalanan pemandu bertugas bagi mengurangkan risiko kecuaian di jalan raya.

"Dalam Op Selamat ini, kita dalam pasukan polis beri tumpuan kepada semua elemen dari segi trafik, pemantauan kesalahan trafiknya, narkotik dan pemantauan melibatkan jenayah lain.

"Pemantauan yang dilaksanakan ini telah beri amaran yang baik dan secara menyeluruh bukan sahaja melibatkan pemanduan tetapi keselamatan penumpang lain," katanya.