Sambutan Tahun Baharu Cina medan erat perpaduan: Hajiji

Hajiji bersama Tun Juhar menggaul Yee Sang sempena Majlis Santapan Tahun Baharu Cina di Tanjung Lipat, Kota Kinabalu.
Hajiji bersama Tun Juhar menggaul Yee Sang sempena Majlis Santapan Tahun Baharu Cina di Tanjung Lipat, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Sambutan pelbagai perayaan termasuk Tahun Baharu Cina perlu dijadikan medan untuk merapatkan lagi hubungan serta mengeratkan perpaduan, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau turut berkata, pembangunan yang saksama untuk semua rakyat akan terus dilakukan termasuk pemberian peruntukan untuk sekolah vernakular dan mubaligh serta badan keagamaan bukan Islam di negeri ini.

"Sebab itu, pada tahun ini, kita memperuntukkan sejumlah RM54.05 juta untuk tujuan itu dalam belanjawan negeri tahun ini.

"Jumlah ini mencatatkan peningkatan sebanyak RM7.05 juta berbanding pada tahun lepas, katanya sempena Majlis Santapan Tahun Baharu Cina 2023 bersama Yang Dipertua Negeri Sabah, TunJuhar Mahiruddin di Tanjung Lipat di sini, pada Isnin.

Hajiji beramah mesra dengan tetamu yang hadir sempena Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2023 Peringkat Sandakan di Dewan Hakka Sandakan.
Hajiji beramah mesra dengan tetamu yang hadir sempena Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2023 Peringkat Sandakan di Dewan Hakka Sandakan.

Katanya lagi, kerajaan negeri telah melakukan yang terbaik pada tahun 2022 dan berada di landasan yang betul di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

"Sehingga kini, kerajaan negeri telah memperoleh hasil sebanyak RM6.6 bilion, bukti bahawa ini adalah prestasi terbaik kita sejak merdeka.

"Ini juga adalah komitmen dan kesungguhan kerajaan negeri agar Sabah terus maju.

"Kami tidak akan berputus asa tetapi akan meneruskan momentum ini. Saya mahu rakyat negeri ini termasuk masyarakat Tionghua terus bersama kami dalam perjalanan ini.

"Bagi pihak kerajaan negeri, saya merakamkan terima kasih kepada anda semua atas sokongan yang berterusan selama ini," katanya.

Sebelum itu, majlis itu turut dihadiri Tun Juhar sendiri bersama isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni sebagai tetamu kehormat dan ini kali pertama dianjurkan kerajaan negeri bersama Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS).

Hajiji turut melahirkan rasa gembiranya melihat majlis itu bukan saja dihadiri masyarakat Tionghua malah turut dimeriahkan rakyat pelbagai kaum serta agama di negeri ini.

"Kerajaan negeri akan terus memastikan agenda pembangunan negeri dan kemajuan rakyat akan diberi tumpuan berterusan di Sabah pada tahun ini dan tahun-tahun seterusnya.

"Ini juga adalah kesungguhan dan azam kerajaan negeri untuk terus memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi yang akan membawa kebaikan kepada negeri serta rakyatnya," katanya.

Sementara itu, dalam majlis berasingan, Hajiji turut menghadiri rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Pengerusi DAP Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Papat, Datuk Frankie Poon, di Sandakan.