'Hanya mahkamah boleh tentukan sedekah atau rasuah'

Faiz Fadzil
Faiz Fadzil
A
A
A

GEORGETOWN - Kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa duit yang diberikan ketika pilihan raya bukan rasuah tetapi sedekah bercanggah dengan penafsiran suapan dalam Seksyen 3 Akta Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM) 2009.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil berkata, menerusi seksyen itu ia turut menyebut tentang perlakuan derma di mana dalam erti kata lain, derma adalah satu bentuk rasuah.

"Sedekah berasal daripada bahasa Arab, tetapi dalam Bahasa Melayu difahami sebagai derma.

"Dalil Pas ini seolah-olah cuba berselindung di sebalik bahasa Arab untuk justifikasi perbuatan memberi wang ketika pilihan raya bukan satu perbuatan rasuah, menunjukkan pemikiran Pas yang semakin bercelaru dan menyimpang dari syariat Islam yang sebenar," katanya menerusi kenyataan di sini pada Isnin.

Muhammad Faiz berkata, Abdul Hadi yang mendakwa sedekah bukan kesalahan pilihan raya sedangkan wang undi itu diberikan ketika tempoh pilihan raya.

Katanya, mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan raya, perbuatan menyogok untuk mendapatkan undi adalah satu kesalahan pilihan raya dan boleh menyebabkan keputusan pilihan raya itu terbatal.

"Untuk tujuan apa wang itu diberikan ketika tempoh pilihan raya? Setiap sedekah itu ada tujuannya.

"Perkara ini perlu disiasat pihak berkuasa sama ada SPRM atau polis," tambahnya.

Muhammad Faiz turut mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mendakwa bahawa pemberian wang itu satu rasuah atau tidak bergantung kepada niat.

Beliau menegaskan, dalam undang-undang niat bukan dinilai daripada mulut pemberi, tetapi daripada bukti keadaan (cuircumstantial evidence) berdasarkan tempat, masa dan tujuan.

"Sekiranya wang diberikan kepada seorang pengundi ketika tempoh pilihan raya oleh parti yang bertanding, tidak cukupkah ia sebagai satu niat sogokan?



"Hanya mahkamah yang akan menentukan perkara ini.

"Pengakuan sedekah ini sudah cukup membuktikan bahawa wujud aktiviti pemberian wang oleh Pas kepada orang ramai," katanya.

Oleh demikian beliau berkata, satu siasatan yang menyeluruh dan bebas perlu dijalankan bagi menyiasat sumber wang berkenaan dan tujuannya.

"Penggunaan wang yang banyak oleh Pas ini bukan satu amalan yang betul, baik dari segi undang-undang mahupun moral.

"Ia boleh mengelirukan orang ramai terutama generasi muda bahawa rasuah itu halal dan sah asalkan berlapik dengan perkataan Arab sedekah," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Sedekah' pilihan raya kepada pengundi tetap rasuah

ARTIKEL BERKAITAN: Budaya derma sudah jadi darah daging Pas - Razman

ARTIKEL BERKAITAN: Pas tak pernah amal politik wang, sogok rasuah

ARTIKEL BERKAITAN: Mungkin Hadi dah jumpa dalil halalkan cara - Veteran UMNO

ARTIKEL BERKAITAN: PRU15: Isham mahu Hamzah jelas niat PN beri duit