Pas tak pernah amal politik wang, sogok rasuah

Khairil Nizam
Khairil Nizam
A
A
A

SHAH ALAM - Pas tidak pernah mengamalkan sebarang bentuk politik wang atau sogokan rasuah kepada pengundi berbanding pihak lain, tegas Ketua Penerangannya, Khairil Nizam Khirudin.

Beliau berkata, bagaimanapun berbanding pihak lain yang terkenal dengan amalan politik wang sama ada dalam pemilihan parti mahupun pilihan raya.

Justeru, ujarnya, pihak berkenaan tiada keabsahan moral untuk membangkitkan perkara ini.

"Merujuk kepada kenyataan Presiden UMNO yang menyebut bahawa 'kalau dia (Pas) buat dipanggil sedekah, kalau kita (UMNO) dipanggil rasuah' ternyata ia adalah kenyataan bercanggah dengan ucapan dan makna sebenar Presiden Pas," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas sambutan Rumah Terbuka MCA, pada Ahad.

Menurut Khairil Nizam, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika menjawab soalan media di Negeri Sembilan pada Ahad menyebut bahawa undang-undang pilihan raya tidak membenarkan calon dan wakil calon memberikan sumbangan kepada pengundi.

"Tetapi jika ada individu atau orang awam hendak memberikan sumbangan terpulang kepada mereka sendiri.

"Adapun sumbangan orang awam tersebut tiada kaitan dengan calon, wakil calon atau Pas sebagai sebuah parti yang bertanding," ujarnya.