Mohd Zuki mula tugas KSU Kementerian Pertahanan

Datuk Seri Mohd Zuki Ali
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Mohd Zuki Ali hari ini memulakan tugas secara rasmi sebagai Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertahanan yang baharu.

Kementerian Pertahanan dalam kenyataan berkata Mohd Zuki dilantik sebagai Ketua Setiausaha kementerian itu menggantikan Datuk Seri Halimi Abd Manaf yang bersara wajib 12 April lepas.

Menurut kenyataan itu beliau pernah menjawat jawatan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri, Setiausaha Persekutuan Sarawak Pejabat Setiausaha Persekutuan Sarawak, Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri.

“Beliau berasal dari Terengganu dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Pembangunan dan Perancangan), Universiti Kebangsaan Malaysia 1986 dan Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan (Kewangan), Nanyang Technological University, Singapore/Massachusset Institute of Technology, Boston, USA 1999,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, beliau yang tiba di Wisma Pertahanan pagi ini disambut Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin sebelum memeriksa Kawalan Kehormatan Utama yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat.

“Mohd Zuki kemudian membuat kunjungan hormat ke atas Menteri Pertahanan (Mohamad Sabu) dan Timbalan Menteri Pertahanan (Liew Chin Tong),” kata kenyataan itu. - Bernama