Saguhati RM600 sebulan untuk mak nyah ikuti kelas KAFA

Asmadi (dua dari kiri) ketika bertemu golongan mak nyah di di Rumah Ngaji Persatuan Insaf Pahang.
Asmadi (dua dari kiri) ketika bertemu golongan mak nyah di di Rumah Ngaji Persatuan Insaf Pahang.
A
A
A

KUANTAN - Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) menyalurkan saguhati antara RM100 hingga RM600 kepada golongan mak nyah atau pondan yang mengikuti Kelas Bimbingan al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Rumah Ngaji Persatuan Insaf Pahang.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) Muip, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, inisiatif itu diberikan bagi memulihkan golongan mak nyah di daerah ini, sekali gus mengubah kehidupan mereka ke arah lebih baik.

"Ini salah satu usaha untuk membantu mereka (golongan mak nyah) untuk menimba ilmu agama selepas mendapat sinar keinsafan.

"Jadi, wang saguhati ini juga dapat menampung kehidupan terutamanya bagi mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap, selain beri galakan mereka untuk terus mengikut program KAFA," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Beliau berkata, tiga tenaga pengajar yang berpengalaman disediakan bagi membantu golongan terbabit untuk menuntut ilmu agama.

Asmadi berkata, Muip merancang untuk mengadakan pelbagai program keagamaan lain terhadap golongan itu pada masa akan datang.

Jelasnya, antara cadangan program seperti kursus menguruskan jenazah mak nyah dan kem motivasi selain khidmat kaunseling.

"Sebenarnya sudah menjadi tanggungjawab Muip menyedarkan, memulihkan dan memberi didikan agama kepada golongan ini.

"Kita tidak boleh membiarkan mereka terus menerus melakukan aktiviti tidak bermoral di celah lorong tanpa sebarang usaha kesedaran," tegasnya yang sebelum ini Muip turut terbabit dalam program pemulihan golongan penghuni Lorong Wong Ah Jang.

Beliau memaklumkan penghuni di lorong terbabit terdiri daripada gelandangan, bekas penagih dadah, bekas banduan dan sosial.

Menurutnya, Muip menyediakan surau, tenaga pengajar, bantuan keperluan asas, khidmat nasihat, peluang mengusahakan projek pertanian dan wang sagu hati.

"Sokongan pertubuhan bukan kerajaan, Dapur Infaq Ummah melancarkan lagi setiap rancangan," katanya.