Op Selamat: Kes kemalangan di Melaka naik 78 kes

Anggota trafik bertugas ketika Op Selamat di Melaka.
Anggota trafik bertugas ketika Op Selamat di Melaka.
A
A
A

MELAKA - Kes kemalangan jalan raya di negeri ini meningkat sebanyak 78 kes berbanding Op Selamat 17 pada tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintendan Amran@Mohamad Zaki Omar berkata, bagaimanapun kes kematian, cedera parah dan cedera ringan akibat nahas itu merekodkan penurunan.

Menurutnya, sehingga hari kelima operasi, sebanyak 339 kes direkodkan berbanding 261 kes dalam tempoh sama Op Selamat 17.

"Tiada kemalangan maut direkodkan tahun ini dan Op Selamat 19 berkuat kuasa selama 10 hari bermula Rabu lalu hingga 27 Januari.

"Meskipun angka kemalangan meningkat 30 peratus atau 78 kes namun nahas mengakibatkan kematian, parah dan cedera ringan masing-masing berkurangan sebanyak dua, 14 dan 10 kes," katanya ketika dihubungi di sini, pada Isnin.

Jelas beliau, sepanjang tempoh itu juga sebanyak 2,250 saman telah dikeluarkan atas enam kesalahan lalu lintas utama.

Ujar beliau, PDRM juga menggunakan dua buah dron dari Pasukan Udara JSPT Bukit Aman bagi mengesan kawasan-kawasan sesak di sekitar bandaraya Melaka.

"Dalam empat hari pertama kita fokus pada tindakan penguatkuasaan.

"Manakala pada hari perayaan semalam dan hari ini adalah menyantuni pengguna jalan raya bagi melancarkan aliran trafik," katanya.