Penjawat awam antara 7 ditahan bersama ganja RM2.1 juta

Mohd Shuhaily menunjukkan huruf PP yang dicetak pada ketulan ganja yang dirampas.
Mohd Shuhaily menunjukkan huruf PP yang dicetak pada ketulan ganja yang dirampas.
A
A
A

GEORGETOWN - [DIKEMAS KINI] Seorang penjawat awam dan enam lagi rakannya ditahan bersama 823 ketulan ganja mampat bernilai RM2.1 juta dalam empat serbuan di negeri ini dan Changkat Jering, Perak.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kesemua tangkapan merupakan warga tempatan dan berusia 24 hingga 29 tahun.

Menurutnya, serbuan dijalankan oleh sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dalam operasi terancang di kawasan daerah Timur Laut dan Barat Daya, pada 19 Januari lalu.

"Serbuan pertama dibuat di Plaza Tol Bagan Ajam pada jam 6.45 pagi di Butterworth dengan penahanan tiga lelaki yang menaiki Perodua Myvi. Susulan daripada itu, kita membawa tiga suspek tersebut ke tempat letak kereta di Bukit Jambul pada jam 7.10 pagi.

"Pemeriksaan mendapati, kita menemui beberapa ketulan mampat ganja di dalam sebuah kereta jenis Ford bernilai RM1.1 juta.

"Sementara itu, dalam serbuan ketiga, kita menahan tiga lelaki di Plaza Tol Changkat Jering, Perak pada 7.44 pagi. Tiada rampasan dadah dibuat dalam serbuan tersebut," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

Mohd Shuhaily berkata, pihaknya turut merampas 361,000 gram ganja bernilai RM900,000 yang disimpan di dalam 10 guni plastik dalam sebuah kereta di tepi jalan Persiaran Mahsuri, Bayan Baru pada jam 2 petang.

"Seorang lelaki turut ditahan di sebuah rumah di Kampung Melayu, Air Itam di sini pada jam 3.20 petang, hari sama. Bagaimanapun, tiada rampasan dadah dibuat.

"Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas adalah 823 ketulan mampat berbalut kertas berwarna keemasan seberat 840.73 kilogram (kg) bernilai RM2.1 juta. Kereta dan sebuah motosikal turut disita dengan jumlah sitaan RM2.15 juta," katanya.

Beliau menambah, sindiket pengedaran dadah tersebut bergiat aktif sejak awal tahun lalu.

"Kesemua dadah tersebut untuk pasaran tempatan dan bekalan dadah ini dipercayai diperoleh dari negara jiran.

"Empat suspek bekerja sebagai juruteknik komputer, jurutera penyelenggaraan lif, pemandu kenderaan sebuah politeknik dan peniaga dalam talian manakala tiga lagi penganggur.

"Ujian saringan air kencing kesemua suspek negatif dadah, namun lima daripada mereka mempunyai rekod pelbagai kesalahan dadah dan jenayah. Kesemua mereka direman tujuh hari bermula 20 hingga 26 Januari ini," katanya.

Mohd Shuhaily berkata, kesemua dadah tersebut mampu menampung sehingga 1.88 juta penagih sekiranya ia terlepas di pasaran.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.