Lelaki serah diri bantu siasatan kes kelindan lori maut dipukul

Laporan Sinar Harian Khamis lalu.
Laporan Sinar Harian Khamis lalu.
A
A
A

KUALA LANGAT - Seorang lelaki yang dicari untuk siasatan kes kematian kelindan lori yang dipukul kerana disyaki terlibat dengan kegiatan pengedaran dadah tampil serah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, lelaki berusia lingkungan 20-an itu hadir kira-kira jam 11 malam.

"Soal siasat awal lelaki terbabit tidak mengaku terlibat dalam kes terbabit.

"Lelaki yang tidak memiliki rekod lampau itu kini direman enam hari sehingga Khamis," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Tambahnya, siasatan masih dijalankan untuk mengesan suspek yang masih bebas.

Khamis lalu, Sinar Harian melaporkan seorang kelindan lori yang disyaki terlibat dengan kegiatan pengedaran dadah dibelasah sekumpulan lelaki di Olak Lempit, di sini 11 Januari lalu.

Mangsa lelaki berusia 24 tahun yang parah kemudian dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan lanjut.

Mangsa bagaimanapun meninggal dunia pada jam 2.15 pagi Isnin selepas lima hari menerima rawatan akibat kecederaan di kepala kerana hentakan objek tumpul.

Dua lelaki yang juga pengawal keselamatan kemudian telah diberkas secara berasingan pada 13 dan 16 Januari di sekitar Banting manakala kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.