Kelindan lori mati dibelasah kerana edar dadah

Mangsa disyaki pengedar dadah dibelasah sekumpulan lelaki di Olak Lempit, Banting, baru-baru ini sebelum meninggal dunia Isnin lalu.
Mangsa disyaki pengedar dadah dibelasah sekumpulan lelaki di Olak Lempit, Banting, baru-baru ini sebelum meninggal dunia Isnin lalu.
A
A
A

KUALA LANGAT - Seorang kelindan lori yang disyaki terlibat dengan kegiatan pengedaran dadah maut selepas dibelasah sekumpulan lelaki di Olak Lempit, di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, kejadian pergaduhan hadapan kedai runcit itu dilaporkan pihaknya selepas menerima panggilan kira-kira jam 10.45 malam, 11 Januari lalu.

Katanya, mangsa dipukul selepas disyaki mengedar dadah di kawasan terbabit.

"Mangsa lelaki yang parah kemudian dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan lanjut.

"Mangsa bagaimanapun meninggal dunia pada jam 2.15 pagi, Isnin lalu selepas lima hari menerima rawatan akibat kecederaan di kepala kerana hentakan objek tumpul," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat pada Khamis.

Tambahnya, siasatan awal polis di lokasi kejadian menemui satu beg berisi 10 peket tiub syabu seberat 3.63 gram dianggarkan bernilai RM2,000 disyaki milik mangsa.

Beliau berkata, susulan kejadian itu, dua lelaki yang juga pengawal keselamatan telah diberkas secara berasingan pada 13 dan 16 Januari di sekitar Banting.

"Suspek berusia 40 tahun memiliki satu rekod dadah manakala satu lagi suspek berumur 31 tahun tiada rekod lampau.

Artikel Berkaitan:

"Semakan juga mendapati mangsa berusia 24 tahun itu turut memiliki satu rekod kes dadah," ujarnya.

Katanya lagi, polis sedang giat mengesan dua lagi individu dipercayai terlibat dalam kes terbabit.

Tegasnya, kedua-dua suspek kini direman enam hari sehingga Isnin depan untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.