Beri wang kepada pengundi bukan sedekah, itu rasuah - Isham

Isham - Foto Bernama
Isham - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil meminta agar Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak mencari sebarang dalil bagi tujuan menghalalkan perbuatan rasuah.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu menegaskan, tindakan memberi wang kepada pengundi semasa pilihan raya dan menyuruh mereka bersumpah untuk mengundi Pas bukan sedekah, sebaliknya ia adalah sogokan atau rasuah.

“Kepada Haji Hadi, janganlah cari dalil untuk halalkan rasuah pengundi.

“Jika rasuah pengundi ini halal, ke manakah sistem politik dan demokrasi negara ini ingin dituju apabila parti dan ahli politik boleh sewenangnya merasuah pengundi atas nama sedekah untuk menang pilihan raya?

“Sebelum pilihan raya atau semasa dalam kerajaan, untuk beri ‘sedekah’ ini, mereka ambil rasuah daripada projek kerajaan untuk guna duit itu bagi tujuan merasuah dan ‘sedekah’ pengundi untuk menang pilihan raya bagi membentuk kerajaan dan mendapat jawatan (dalam) kerajaan.

“Ini adalah kitaran rasuah dan politik wang yang busuk dan teruk,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini, Abdul Hadi dilaporkan berkata, pemberian wang tunai sewaktu kempen pilihan raya tidak menyalahi peraturan berikutan ia hanyalah sedekah kepada pengundi oleh orang awam.

Mengulas lanjut, Isham berkata, Malaysia memerlukan pembaharuan berhubung pendanaan politik supaya ia tidak kotor.

“Supaya anak-anak muda pun boleh terlibat dalam politik jika mereka ada niat dan perjuangan yang baik tanpa perlu ambil rasuah.

“Jika tidak, hanya orang-orang kaya atau orang-orang perasuah sahajalah yang boleh berjaya dalam politik dan menentukan dasar-dasar untuk rakyat dan negara di Malaysia.

“Orang-orang yang ikhlas, baik dan tidak kaya raya tidak berpeluang melawan duit ‘sedekah’,” ujarnya.