Kapten kapal minta izin mandi sebelum ditahan

Kapten sebuah kapal tangki selepas ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Johor Timur pada pagi Jumaat.
Kapten sebuah kapal tangki selepas ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Johor Timur pada pagi Jumaat.
A
A
A

KOTA TINGGI - "Saya nak bersiram (mandi) dulu," itu kata kapten sebuah kapal tangki selepas ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Johor Timur pada pagi Jumaat.

Dia yang pada mulanya dilihat bertegang urat dengan seseorang di telefon dipercayai orang tengah kepada ejen kapal, enggan memberikan kerjasama untuk dirakam keterangan walau berkali-kali diarah berbuat demikian oleh pegawai operasi Maritim Malaysia.

"Kita sudah bantu urusan dia. Kita sini betul-betul nak kerja tapi dia kena tanggung jawablah," kata kapten kapal warga Indonesia itu dengan nada tinggi meluahkan situasi dialami.

Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata, kapal tangki didaftarkan di Zanzibar, Tanzania itu ditahan kerana melakukan tiga kesalahan undang-undang Persekutuan di laut.

Selain bersauh secara haram, kapal itu juga gagal melaporkan ketibaan kepada Lembaga Pelabuhan Johor dan jumlah kru kapal tidak mencukupi seperti tercatat dalam 'Safe Manning Certificate'.

Kapal tangki yang didaftarkan di Zanzibar, Tanzania ditahan kerana melakukan tiga kesalahan undang-undang Persekutuan di laut.
Kapal tangki yang didaftarkan di Zanzibar, Tanzania ditahan kerana melakukan tiga kesalahan undang-undang Persekutuan di laut.

"Hasil pemeriksaan mendapati, kapal yang membawa lima kru warga Indonesia itu gagal mengemukakan dokumen kebenaran bersauh pada kedudukan 1.5 batu nautika tenggara Teluk Ramunia," katanya kepada Sinar Harian.

Kapal ditahan dan nakhoda kapal dibawa ke pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 untuk setiap kesalahan atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu bagi Seksyen 72 (1) ordinan sama iaitu kru kapal tidak mencukupi pula boleh didenda sehingga RM100,000 jika sabit kesalahan.

Kapten kapal yang sudah selesai mandi sedang menunggu dibawa ke darat untuk tindakan selanjutnya.
Kapten kapal yang sudah selesai mandi sedang menunggu dibawa ke darat untuk tindakan selanjutnya.

Op Jangkar Haram kali ini diketuai Leftenan Madya (M), M Parthiban dan enam anggotanya membelah gelombang Laut China Selatan ketika amaran angin kencang dan laut bergelora di beberapa kawasan termasuk Johor Timur bermula 19 hingga 25 Januari ini.

Maritim Malaysia menegaskan akan mempergiatkan usaha tanpa kompromi dengan mana-mana pihak untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan perairan Johor Timur bebas daripada cubaan bersauh secara haram demi keselamatan perairan sentiasa terpelihara.