Melaka berpotensi jadi perintis agropelancongan buah tin

Melaka berpotensi menjadi perintis kepada hab agropelancongan bagi tanaman buah tin yang diusahakan secara organik terbesar di negara ini. - Gambar hiasan
Melaka berpotensi menjadi perintis kepada hab agropelancongan bagi tanaman buah tin yang diusahakan secara organik terbesar di negara ini. - Gambar hiasan
A
A
A

ALOR GAJAH - Melaka berpotensi menjadi perintis kepada hab agropelancongan bagi tanaman buah tin yang diusahakan secara organik terbesar di negara ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, dengan 1,500 pokok buah tin setakat ini yang ditanam di ladang seluas 3,200 meter persegi, tanaman itu turut dilihat mampu menjadi pengeluar terbesar dalam pasaran buah tin di Melaka.

"(Tanaman) ini ialah produk baharu di Melaka dan sekali gus berpotensi melonjakkan agropelancongan di negeri ini terutama bagi mereka yang suka atau ingin mengenali apa itu buah tin.

"Malahan perancangan menambah 10,000 pokok dengan pelbagai jenis varieti buah tin dilihat mampu memberi pulangan dan impak yang positif dalam perusahaan ini," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan MBS Agro Farm and Fig Valley- Agro Pelancongan Pendidikan dan Kesihatan di Solok Duku, Masjid Tanah di sini pada Sabtu.

Katanya, ladang itu juga mampu menjadi hab latihan bagi mereka yang ingin mendalami kaedah menanam pokok yang berasal dari Timur Tengah dan Asia Barat itu.

"Kerajaan negeri sangat mengalu-alukan mereka yang ingin mengusaha dan menjadi pengeluar buah tin memandangkan tanaman ini sangat berpotensi bagi pasaran tempatan dan luar.

"Malah harga buah tin di pasaran adalah lebih mahal daripada durian Musang King iaitu RM80 sekilogram. Bagi setiap pokok pula, dalam tempoh kitaran enam bulan mampu mengeluarkan 10 kilogram buah dengan satu pokok menghasilkan RM800," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri komited untuk terus menyuburkan minat rakyat dalam bidang pertanian yang melonjak ketika musim pandemik Covid-19 sebelum ini, malah dilakukan dengan lebih proaktif dan diperluaskan dalam kalangan kanak-kanak dan pelajar sebagai bukan aktiviti di sekolah sahaja.

"Saya melihat kesedaran rakyat di seluruh negara mengenai bercucuk tanam muncul apabila berlakunya pandemik. Saya yakin dengan minat yang tunjukkan ketika itu dan sekiranya diteruskan, setiap golongan masyarakat boleh mengeluarkan sayur atau buah yang berkualiti," katanya.

Sulaiman berkata, komitmen kerajaan negeri dalam usaha menarik lebih ramai terlibat dalam pertanian dizahirkan menerusi penambahan sebanyak 56 peratus dalam belanjawanan negeri berbanding sebelum ini.

"Jadi yang berminat dalam bidang pertanian, sahut cabaran ini, malah di peringkat Persekutuan ada peruntukan khusus yang diberikan dalam sektor ini yang boleh dipohon orang ramai," katanya. - Bernama