Penguat kuasa JKN Pahang mula guna kamera badan

Anggota penguat kuasa menggunakan kamera badan dalam pemantauan PPKHT 2004 di sekitar Kuantan.
Anggota penguat kuasa menggunakan kamera badan dalam pemantauan PPKHT 2004 di sekitar Kuantan.
A
A
A

KUANTAN - Anggota Penguat kuasa Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang mula menggunakan teknologi kamera badan pada Jumaat bagi menjamin ketelusan penugasan dan kebajikan anggota itu.

Pengarah JKN negeri, Datuk Nor Azimi Yunus menjelaskan pemakaian teknologi tersebut dilihat mampu memelihara integriti dan meningkatkan imej jabatan terbabit.

Menurutnya, penggunaan kamera badan resolusi dan sensitiviti tinggi itu membabitkan pegawai dan anggota yang terbabit dalam operasi pemantauan Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.

"Teknologi ini digunakan pada Disember lalu di Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur. Ini bermakna Pahang menjadi negeri ketiga menggunakan pendekatan sama bagi membantu pasukan penguat kuasa kita melakukan tugas dengan lebih profesional dan selamat.

"Bermula semalam (Jumaat) sebanyak 19 kompaun dikeluarkan kepada individu merokok di kedai makan sekitar daerah Kuantan," katanya pada Sabtu.

Pada 12 Disember lalu, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa mengumumkan penggunaan kamera badan oleh anggota penguat kuasa Kementerian Kesihatan ketika berucap pada perhimpunan bulanan kementerian itu pada 12 Disember lalu.

Dalam pada itu, Nor Azmi menjelaskan pada tahun lalu, pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 8,857 notis bagi kesalahan di bawah PPKHT 2004 yang merupakan kedua tertinggi di Malaysia.

Beliau memberitahu penguatkuasaan adalah langkah terakhir bagi memastikan orang ramai patuh kepada perundangan kesihatan awam yang sedang berkuatkuasa.

Tegasnya, tindakan ini dilakukan bagi membendung sebarang amalan yang boleh mendatangkan risiko penyakit dan memudaratkan kesihatan masyarakat.

"Jadi orang ramai diminta untuk sentiasa mengamalkan cara hidup sihat selain bersama-sama menjaga persekitaran agar sentiasa bersih dan selamat," ujarnya.