DBKL letak hiasan bunga elak siar kaki ditambah kerusi meja

'Planter box' diletakkan bagi menghalang pekedai meletakkan kerusi meja yang menghalang laluan pejalan kaki.
'Planter box' diletakkan bagi menghalang pekedai meletakkan kerusi meja yang menghalang laluan pejalan kaki.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuat pengindahan landskap dengan meletakkan hiasan bunga bagi menghalang peniaga meletakkan kerusi meja di siar kaki.

DBKL menerusi kemas kini di Facebooknya pada Sabtu berkata, langkah itu bagi menyelesaikan aduan pejalan kaki yang terhalang dengan aktiviti perniagaan di siar kaki terbabit.

Menurut kenyataan itu, DBKL telah meneliti kehendak dan alasan pihak yang terlibat dalam mencari penyelesaian isu-isu berbangkit.

"Contohnya dalam isu laluan pejalan kaki di Bukit Bintang. Pejalan kaki kata laluan mereka terhalang dek pekedai yang meletak kerusi meja manakala pekedai pula kata, ruang mereka terhad kerana sambutan pelanggan amat menggalakkan.

"Jadi DBKL letak planter box menyebabkan ruang letak meja dihadkan dan ruang pejalan kaki pula tak terhalang. Paling penting pemandangan pun menarik.

"Langkah situasi menang-menang ini dilihat menyelesaikan masalah kedua-dua belah pihak. Ia Umpama menarik rambut dari tepung, rambut tidak putus, tepung pun tidak berselerak," ujarnya.