JKR Pahang diminta buat kajian lampu jalan solar

Mohammad Fakhruddin
Mohammad Fakhruddin
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang diminta menjalankan kajian atau kertas kerja berhubung syor penggunaan lampu jalan solar di seluruh Pahang.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, kajian itu bagi membolehkan pihak kerajaan mengetahui keberkesanan penggunaan lampu jalan solar sebelum ia dilaksanakan.

Menurutnya, penggunaan lampu jalan solar dijangka dapat menyelesaikan masalah lampu jalan tidak berfungsi sehingga mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya.

"Saya telah memaklumkan kepada Menteri Besar (Datuk Seri Wan Rosdy) dalam mesyuarat Exco (Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri) beberapa perkara termasuk berkenaan kekangan bajet, kehilangan dan kecurian peti pembekal pada tiang lampu serta alat elektronik lain.

"Jadi, saya akan berusaha membantu dan menjadi pemudah cara kepada JKR. Disebabkan itu, saya meminta agar JKR membuat kajian atau kertas kerja lampu solar jalan secara terperinci dan mahu melihat keberkesanan kajian itu.

"Jika ia positif, mungkin penggunaan lampu jalan solar boleh digunakan sekali gus mampu menyelesaikan isu kerosakan pada tiang lampu yang dihadapi pada ketika ini," katanya pada Sabtu.

Beliau turut memaklumkan untuk bertemu Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam masa terdekat sebagaimana arahan Menteri Besar.

Jelasnya, pertemuan itu bagi mengemukakan beberapa isu berkaitan jalan raya, lampu jalan, jejantas rosak dan projek lain yang sedang berjalan di Pahang.

"Semua maklumat berhubung permasalahan itu akan dibincangkan dan sampaikan ke pengetahuan Menteri Kerja Raya pada pertemuan yang dirancang nanti," ujarnya.

Dalam pada itu, Mohammad Fakhruddin juga sudah menyampaikan hasrat itu kepada Pengarah Kerja Raya Pahang, Datuk Ir Ts Hafizah Zakaria dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Raya Negeri Pahang baru-baru ini.