Sukan SEA Kemboja: Takraw tawar 22 pingat emas

Abdul Halim
Abdul Halim
A
A
A

SEBANYAK 22 pingat emas akan menjadi rebutan dalam acara sepak takraw di temasya Sukan SEA Kemboja 2023 yang dijadualkan bermula pada Mei depan.

Presiden Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF), Datuk Abdul Halim Kader berkata, perkara itu diputuskan hasil perbincangan badan induk tersebut bersama Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA di Phnom Penh.

Menurutnya, acara chinlone mendapat kelulusan buat pertama kali untuk dipertandingkan daripada Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Kemboja selepas mesyuarat di Phnom Penh Selasa lalu.

“Mesyuarat tiga jam di Ibu Pejabat Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) Kemboja dihadiri Setiausaha Agung ASTAF, Boonchai Lorhpipat dan pada masa yang sama buku panduan Teknikal Sepaktakraw dan chinlone untuk Sukan SEA 2023 diluluskan ASTAF selepas mesyuarat.

“Setiap negara yang mengambil bahagian hanya boleh sertai maksimum tiga acara lelaki dan dua acara wanita, namun hanya satu pasukan sahaja dibenarkan bagi setiap acara manakala tuan rumah dibenarkan menyertai semua acara,” katanya pada Jumaat.

Jelas Abdul Halim, pasukan lelaki pula dibenarkan menyenaraikan seorang pegawai, dua jurulatih, 12 pemain manakala pasukan wanita seorang pegawai, dua jurulatih dan sembilan pemain.

“Setiap pasukan yang mewakili NOC masing-masing dalam acara sepak takraw diwajibkan membawa seorang pengadil ISTAF atau seorang pengadil ASTAF,” katanya.

Tambah Abdul Halim lagi, saingan chinlone pula menyaksikan setiap negara yang mengambil bahagian hanya boleh menyertai maksimum tiga acara lelaki, dua wanita dan dua campuran.

“Ketiga-tiga pasukan lelaki, wanita dan campuran hanya boleh menyenaraikan maksimum dua jurulatih dan 12 pemain termasuk dua simpanan.

“Dua pemain simpanan bagi acara campuran membabitkan seorang lelaki dan seorang wanita. Setiap pasukan sekurang-kurangnya perlu mempunyai enam pemain untuk memulakan perlawanan jika kurang daripada itu penyertaan akan dibatalkan,” ujarnya.