25,000 kenderaan dijangka masuk PD

Polis menjangkakan kira-kira 25,000 jumlah kenderaan memasuki Port Dickson pada minggu ini sempena cuti Tahun Baharu Cina. - Gambar hiasan
Polis menjangkakan kira-kira 25,000 jumlah kenderaan memasuki Port Dickson pada minggu ini sempena cuti Tahun Baharu Cina. - Gambar hiasan
A
A
A

PORT DICKSON - Polis menjangkakan kira-kira 25,000 jumlah kenderaan memasuki Port Dickson pada minggu ini sempena cuti Tahun Baharu Cina.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, terdapat tiga kawasan yang dijangka mengalami kesesakan luar biasa bermula Sabtu (21 Januari) sehingga Selasa (24 Januari).

"Kawasan berkenaan ialah Kilometer (KM) 5-7 Jalan Pantai (Pasar Malam Batu 4), KM 10-12 Jalan Pantai (Dataran Kemang) dan KM8-11 Jalan Seremban (Pekan Lukut).

"Jika pada waktu biasa hari Sabtu dan Ahad jumlah kenderaan yang memasuki Port Dickson hanya sekitar 14,000 saja, tapi memandangkan cuti perayaan kali ini agak panjang ramai yang mengambil peluang untuk bercuti," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Menurutnya, bagi memastikan kelancaran lalu lintas, polis akan menempatkan anggota trafik di laluan-laluan 'panas' terutama di laluan berhampiran pantai.

Tambahnya, orang ramai dinasihatkan tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan dan menghalang kenderaan lain sehingga menyebabkan kesesakan.

"Tindakan penguatkuasaan akan dilakukan sehingga malam dan orang ramai dinasihatkan mematuhi peraturan jalan raya ditetapkan," katanya.

Sementara itu katanya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson akan menumpukan enam kesalahan utama yang menjadi punca kemalangan dalam Op Selamat ke-19 sempena Tahun Baharu Cina 2023.

"Pihak polis IPD menumpukan enam kesalahan utama yang menjadi punca kemalangan jalan raya iaitu memandu melebihi had laju ditetapkan, memotong di dua garisan berkembar, memandu sambil menggunakan alat komunikasi dan menggunakan lorong kecemasan.

"Selain itu, operasi membanteras pemandu mabuk dan samseng jalanan juga dijalankan," katanya.